Ini taktik jerat 'scam kesihatan'

Sebarang produk, servis dipromosikan tidak dijamin selamat, efektif secara saintifik

ERA teknologi masa kini telah memudahkan penjualan ubat dan servis kesihatan tanpa kawalan.
ERA teknologi masa kini telah memudahkan penjualan ubat dan servis kesihatan tanpa kawalan.
A
A
A

LAMBAKAN produk kesihatan dan kecantikan sama ada di kedai-kedai kosmetik mahupun melalui platform media sosial sememangnya rancak dipromosikan.

Apa yang membimbangkan, apabila kuasa penggunaan ayat telah dimanipulasikan hingga mampu mempengaruhi pemikiran sesiapa. Antara perkataan paling popular kerap digunakan ialah 'mujarab', 'power', 'kehebatan luar biasa' dan seumpamanya sememangnya mampu 'mencairkan' dan menjadi magnet penarik pelanggan.

Berkongsi fenomena kuasa jualan langsung, Pegawai Perubatan Sarjana Kesihatan Awam Universiti Sains Malaysia, Dr Afiq Rahim tidak menafikan taktik murah yang lazim dipraktikkan para peniaga.



DR AFIQ
DR AFIQ

"Produk-produk pseudosains atau palsu yang diiklankan dikatakan mampu menyembuhkan 1,001 penyakit. Pelbagai lagi dakwaan kehebatan luar biasa produk yang dijual mereka.

"Lebih bingung, dakwaan keberkesanannya hanya bersandarkan kepada testimoni semata-mata. Ia sebenarnya bukan bukti saintifik melalui penyelidikan makmal atau secara klinikal. Inilah yang dinamakan 'scam kesihatan'!,"tegasnya kepada Sihat:Aktif.

Sebelum ini, perkataan 'scam' hanya dikaitkan dengan penipuan wang. Ironinya, 'scam kesihatan' telah wujud beratus tahun lagi namun semakin cepat berkembang pada era informasi di hujung jari, kata Dr Afiq.

Yang pasti, produk atau servis yang dipromosikan tidak terbukti secara kaedah saintifik, tidak selamat dan tidak efektif untuk menyelesaikan masalah pesakit.

Artikel Berkaitan:

"Penipuan produk dilakukan sama ada dengan penjualan ubat, peralatan kesihatan, makanan suplemen, servis kesihatan atau produk kosmetik.

"Pemasaran produk tipu pula dilakukan sama ada melalui media cetak, siaran radio dan televisyen serta melalui media sosial. Bagi yang lebih 'advance', mereka akan mengupah artis, selebriti atau pendakwah untuk mempromosikan produk tersebut.

Justeru, berikut tip dikongsikan Dr Afiq untuk mengenal pasti taktik 'pukau' 'scam kesihatan':

1 Satu produk penawar banyak penyakit

Berhati-hati jika produk atau servis yang ditawarkan dikatakan berupaya menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

Ada iklan menerusi laman sosial yang mendakwa 'produk ajaib' mereka mampu menyembuhkan penyakit kanser, penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit sendi, penyakit berjangkit seperti HIV, hepatisis dan bermacam-macam lagi.

Sudah pasti, produk sebegitu satu pembohongan dan tiada kajian langsung tentang keberkesanannya. Produk tersebut hanya berdasarkan petua-petua orang zaman dahulu atau bersandarkan kepada mitos kesihatan semata-mata.

2 Hanya bersandarkan testimoni

Berhati-hati jika produk tersebut gagal menunjukkan kajian makmal atau klinikal. Peniaga hanya akan berulang kali menunjukkan kejayaan testimoni pengguna.

Persoalannya, berapa banyak pula testimoni kegagalan produk mereka? Adakah sahih testimoni tersebut daripada pengguna sendiri atau direkacipta untuk melariskan jualan?

3 Penyembuhan segera

Sesetengah rawatan perubatan moden mengambil masa yang lama untuk sembuh atau berada dalam keadaan terkawal. Kebanyakan penyakit seperti kanser, kronik seperti kencing manis, darah tinggi, kegagalan buah pinggang dan banyak lagi.

Oleh itu, berhati-hati jika ada produk atau servis yang menawarkan penyembuhan ekspres. Taktik ayatnya, 'boleh hilangkan berat badan 30 kilogram dalam masa tujuh hari', 'bebas kencing manis dalam masa seminggu', 'kanser sembuh dalam masa singkat' dan seumpamanya.

4 Produk 100 peratus alami

Kebanyakan agensi kesihatan sama ada dalam dan luar negara telah membuktikan kebanyakan produk 'scam kesihatan' mengandungi bahan terlarang pada dos merbahaya. Bahan kimia tersebut boleh meragut nyawa pengguna.

Pengguna dinasihatkan tidak tertipu dengan dakwaan produk mereka tiada bahan kimia tanpa mendapat sijil pengesahan daripada pihak berautoriti.



UBAT yang tidak dapat dipastikan kesahihannya boleh mengundang bahana berpanjangan.
UBAT yang tidak dapat dipastikan kesahihannya boleh mengundang bahana berpanjangan.



5 Produk atau rawatan ajaib

Peka apabila melihat iklan menggunakan tarikan ayat seperti 'penemuan ajaib', 'rahsia merawat terbongkar' atau 'sains membuktikan hanya dengan mengambil produk XXX, masalah kesihatan sembuh' untuk penyakit-penyakit yang serius.

Sekiranya penawar tersebut dijumpai, Kementerian Kesihatan akan mengkaji terlebih dahulu dan menguar-uarkan jika terbukti benar.

6 Teori konspirasi

Di Barat, syarikat farmasi dan agensi kesihatan dituduh bekerjasama untuk menyembunyikan 'penawar ajaib' untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Di Malaysia juga lebih kurang sama. Sentimen tertentu sering dilaungkan untuk menakut-nakutkan pengguna.

Itu taktik fear factor digunakan scammer kesihatan untuk mengalih perhatian kepada produk pseudosains.

7 Menggunakan agama

Tidak dinafikan hadis-hadis sahih tentang perubatan atau ayat-ayat al-Quran sebagai as-syifa untuk kesihatan.

Namun, yang menjadi masalah apabila scammer kesihatan mentafsir ayat al-Quran atau hadis tanpa neraca ilmu.

Begitu juga sebarang produk kononnya dibacakan ayat tertentu didakwa mampu menyembuhkan penyakit.

Pesan Dr Afiq, berhati-hatilah dengan 'scammer kesihatan' yang menunggang agama hatta dengan imej mereka dan memakai gelaran agama.