'Tiada apa yang janggal peralihan kuasa' - Acryl Sani

Acryl Sani (kiri) menyerahkan dokumen serah terima tugas Ketua Polis Negara kepada Razarudin sambil diperhati Saifuddin Nasution (tengah). - Foto Bernama
Acryl Sani (kiri) menyerahkan dokumen serah terima tugas Ketua Polis Negara kepada Razarudin sambil diperhati Saifuddin Nasution (tengah). - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menegaskan tiada apa yang janggal dalam proses peralihan kuasa kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan dirinya.

Acryl Sani berkata, ada pihak yang mungkin berasa pelik dengan keputusannya untuk bersara lebih awal.

“Mungkin anda berasa pelik, percayalah tiada apa yang janggal dalam proses peralihan kuasa, tetapi sebenarnya situasi memaksa saya memendekkan tempoh perkhidmatan untuk memenuhi keperluan di luar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di sini, pada Rabu.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Saifuddin sebelum itu menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara melibatkan Acryl Sani kepada Ketua Polis Negara yang baharu, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid.

Beliau turut menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara kepada Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Pelantikan baharu buat kedua-dua kepimpinan baharu PDRM itu berkuat kuasa pada Jumaat.

Acryl Sani berkata, beliau meninggalkan PDRM dengan hati terbuka kerana beliau percaya mereka yang masih berkhidmat akan dapat meningkatkan imej dan kualiti pasukan ke tahap yang lebih tinggi.

"Sentiasa ingat logo kita, ingatlah slogan kita, sedia berkhidmat dan dan polis dan masyarakat tidak dapat dipisahkan,” katanya.

Acryl Sani menyifatkan hari terakhirnya sebagai Ketua Polis Negara sebagai pengalaman pahit dan manis.

“Saya sedih kerana tidak dapat bertemu seramai mungkin rakan sepasukan sebelum bersara.

"Percayalah bahawa semua orang akan sentiasa kekal di hati saya. Bak kata pepatah, kita tidak akan selamanya di sini tetapi kerja sebagai anggota dan pegawai polis tidak akan pernah berakhir," katanya.