Kereta terbang bukan angan-angan

A
A
A

SEPERTI angan-angan Mat Jenin, Malaysia dilapor melancarkan projek kereta nasional ketiga iaitu kereta terbang. Ramai yang meragui angan-angan itu namun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad percaya suatu hari nanti kereta mampu terbang di angkasaraya.

Impian besar itu seperti ada kebenarannya kerana pada Oktober lalu sebuah prototaip dipercayai kereta terbang Malaysia dibangunkan dengan kerjasama syarikat Aerodyne di Eropah telah dipamerkan kepada masyarakat dunia buat pertama kali di Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019. Begitupun, Vector bukan kereta terbang yang bebas melayang ke mana sahaja sebagaimana digambarkan umum.

Vector ialah sistem pengangkutan udara mampu terbang dari satu lokasi ke lokasi lain yang telah ditetapkan. Khabarnya, barisan jurutera Aerodyne sudah mengesahkan perkara itu.

Penulis dimaklumkan, reka bentuk kereta terbang itu adalah kombinasi rekaan kereta dengan kapal terbang dan helikopter.

Penyelidikan dan pembangunannya jelas memerlukan khidmat kepakaran pelbagai bidang atau multidicipline expertist seperti mathematical modelling and analyzing, aviation, aeronautical engineering, piloting and flying system, air traffic control, electrical and electronics engineering, automotive engineering, mechanical engineering, materials engineering, mechatronics engineering dan recovering system.

Antara bidang kepakaran lain yang tidak kurang pentingnya ialah global navigation satellite system, robust control engineering, digital communication engineering, digital data sciences and engineering, cyber security technology, digital weather forecasting and monitoring, digital air route system, short and long frequency, electromagnetic technology, noise and vibration, laws and regulation dan beberapa lagi sub bidang.

Secara harfiahnya, penulis sentiasa yakin dengan perancangan Dr Mahathir kerana ALLAH menggalakkan manusia untuk mencipta sesuatu dalam kenderaan demi kemudahan manusia disebut dalam surah Az-Zukhruf bermaksud: “Yang menjadikan bumi untuk kamu sebagai tempat menetap dan Dia (ALLAH) membuat jalan-jalan di atas bumi untuk kamu supaya kamu mendapat petunjuk. Dan yang menurunkan air dari langit menurut kadar (yang diperlukan) lalu Kami hidupkan dengan air itu negeri yang mati, seperti itulah kamu akan dikeluarkan (daripada dalam kubur). Yang Menciptakan semua yang berpasang-pasang dan menjadikan untukmu kapal dan binatang ternak yang kamu tunggangi. Supaya kamu duduk di atas punggungnya kemudian kamu ingat nikmat Tuhan mu apabila kamu telah duduk di atasnya supaya kamu mengucapkan, Maha Suci Tuhan yang menundukkan semua ini bagi kami sedangkan kami sebelumnya tidak mampu menguasainya dan sesungguhnya kami kembali kepada Tuhan kami.”

Pakar

Penulis mengharapkan projek kereta terbang itu menggunakan kepakaran tempatan.

Artikel Berkaitan:

Kalau boleh tenaga pakar dari universiti di Malaysia dijemput memberikan pandangan. Malaysia mempunyai ramai pakar dalam bidang yang disebut penulis.

Sebagai seorang yang berpengalaman menyediakan beratus kertas kerja kajian kemungkinan (feasibility study) projek baharu dan berteknologi tinggi sejak Rancangan Malaysia Ke-6 (RMK-6), penulis mencadangkan kerajaan membentuk jawatankuasa kerja meliputi penyelidik dan perunding teknikal tempatan daripada pelbagai bidang.

Jawatankuasa itu boleh menyediakan kertas kerja kajian kemungkinan cadangan penyelidikan, pembangunan dan pelaksanaan industri kereta terbang.

Faktor yang boleh dititikberatkan dalam kertas kerja itu termasuk bentuk muka bumi dan ruang udara sehingga 10,000 kaki untuk dicadangkan sebagai laluan udara dan stesen penerbangan serta pendaratan kereta terbang.

Kertas kerja tersebut juga perlu melakukan kajian komprehensif tentang teknologi berkaitan penyediaan kereta terbang.

Ia akan melibatkan pelbagai sistem kejuruteraan, beratus komponen, alat ganti, prasarana, sistem pemanduan, penerbangan dan pendaratan, sistem pengujian, penyelenggaraan dan perkhidmatan, khidmat penyelenggaraan pencegahan, sistem keselamatan dan pelbagai lagi sistem teknikal penting untuk dikaji.Kandungan kajian kemungkinan kereta terbang juga perlu memikirkan cabaran, pengurusan risiko, pasaran, penganalisaan kompetitif, proses pengeluaran dan pengoperasian, perancangan kewangan dan keseluruhan.

Sekalipun ramai meragui viability projek kereta terbang, namun ia satu idea yang boleh mengangkat imej Malaysia.

***Dr Ir Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor