Saksi tidak setuju seleweng RM10 juta dengan tiga individu lain

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa tiada komplot di antara bekas Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Gegasan Abadi Properties (GAPSB), Ikhwan Zaidel dan tiga individu lain dalam menyeleweng RM10 juta hasil komisen penjualan Merdeka Palace Hotel & Suits (MPHS) di Kuching, Sarawak bernilai RM160 juta.

Ikhwan, 59, berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Salehuddin Saidin, yang mewakili Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dalam perbicaraan pecah amanah dan rasuah RM3 juta yang dihadapi bekas Pengerusi Felda itu.

Beliau menafikan kenyataan peguam itu yang mengatakan beliau berkomplot bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif Felda Investment Corporations Sdn Bhd (FICSB), Mohd Zaid Abdul Jalil, bekas Pegawai Khas Pengerusi Felda, Muhammad Zahid Md Arip dan Pengarah JV Evolution Sdn Bhd (JVESB), Azizi Abdul Wahab.

Salehuddin: Kamu berkomplot dengan Zahid, Zaid dan menggunakan Azizi untuk seleweng RM10 juta.

“Ini kerana harga dipersetujui oleh GAPSB RM150 juta sahaja... kamu diberi mandat untuk meneruskan penjualan hotel dan melantik JV Evolution dengan janji sekiranya dapat jual hotel itu melebihi RM150 juta bakinya akan dimasukkan ke JV Evolution sebagai komisen.

"Tapi kamu tidak bawa JV Evolution untuk rundingan dengan FICSB. Kamu bersama Zahid dan Zaid meletakkan harga RM160 juta sedangkan harga yang dibincangkan oleh ALP GAPS adalah RM150 juta.

“Kamu menggunakan syarikat Azizi untuk mengalirkan lebihan RM10 juta daripada jualan hotel seterusnya berkongsi dengan Zahid, Azizi dan Zaid, setuju?”

Ikhwan: Tidak setuju

Artikel Berkaitan:

Ditanya kenapa saksi itu tidak memaklumkan harga tawaran baharu kepada ALP GAPSB, Ikhwan menjawab “Tak perlu. Ia bukan duit mereka (wang yang melebihi RM150 juta).

Saksi pendakwaan ke-16 juga tidak bersetuju dengan Salehuddin bahawa duit tersebut (RM10 juta) milik mereka berempat.

Salehuddin: Kalau betul ALP GAPSB beri mandat kepada kamu, adakah kamu setuju dengan saya bahawa semua keputusan sepatutnya datang dari ALP GAPSB?

Ikhwan: Tidak setuju

Dalam penyataan saksinya sebelum ini, beliau mengesahkan harga penjualan MPHS adalah mesti berjumlah RM150 juta maka lebihan nilai tersebut akan diberikan kepada JV Evolution Sdn Bhd sebagai insentif bagi ejen.

Mohd Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Disember 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung 27 November ini. - Bernama