Bahaya ajaran Aurad Muhamadiah

JAUHILAH diri daripada fahaman yang menyimpang daripada landasan agama Islam dan berpegang terguhlah dengan ajaran Ahli Sunah Waljamaah.
JAUHILAH diri daripada fahaman yang menyimpang daripada landasan agama Islam dan berpegang terguhlah dengan ajaran Ahli Sunah Waljamaah.
A
A
A

MAJORITI masyarakat awam di Malaysia mungkin sudah lupa tentang Aurad Muhamadiah yang diperkenalkan oleh jemaah Darul Arqam suatu ketika dahulu.

Namun, bagi mereka yang terlibat secara langsung dalam kajian mengenai Aurad Muhamadiah menurut perspektif syariah, ia merupakan suatu amalan yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa sesetengah negeri termasuk Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah memfatwakan bahawa buku yang bertajuk ‘Aurad Muhamadiah Pegangan Darul Arqam’ adalah menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar dan mengelirukan masyarakat Islam seluruhnya, sekali gus menjawab tuduhan yang ditulis oleh Ustaz Ashaari Muhammad.

Aurad Muhamadiah adalah sebahagian daripada amalan yang difatwakan menyeleweng dalam Pertubuhan Darul al-Arqam. Aurad Muhamadiah ialah bacaan tertentu yang dijadikan wirid atau amalan setiap kali selepas solat fardu yang mengandungi ayat-ayat al-Quran dan juga selawat. Ia dimulakan dengan bertawasul kepada nabi Muhammad SAW, kepada keluarga baginda, sahabat-sahabat dan lain-lainnya kemudian kepada Abuya iaitu Ashaari Muhamad dan kepada Syeikh Suhaimi.

Aurad Muhamadiah kononnya berasal daripada ayat-ayat suci al-Quran yang diamalkan oleh Sayidi Syeikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi yang kemudiannya dikenali sebagai Imam Mahdi al-Muntazar (yang ditunggu) sebagaimana yang didakwa oleh Ashaari Muhamad.

Menurut Syeikh Suhaimi, oleh sebab ayat-ayat yang diamalkan semakin banyak dan terlalu berat untuk diamalkan dengan sempurna, maka beliau telah berdoa kepada ALLAH supaya ditunjukkan cara bagaimana untuk meringkaskan amalan-amalan tersebut.

Kemudian Syeikh Suhaimi mendapat ‘alamat’ kononnya menyuruh dia masuk ke dalam Kaabah selepas tengah malam yang tertentu. Maka ketika dia masuk, tiba-tiba dia berjumpa dengan Rasulullah SAW dalam keadaan jaga (bukan mimpi) dan Rasulullah SAW telah mengajarkan kepadanya bacaan Aurad Muhamadiah itu serta cara-cara mengamalkannya.

Kemudian Aurad Muhamadiah itu kononnya telah diizinkan untuk ‘diturunkan’ kepada sesiapa sahaja yang hendak mengamalkannya. Demikianlah secara ringkas mengenai Aurad Muhamadiah sebagaimana yang diceritakan oleh ustaz Ashaari kepada murid-murid beliau.

Artikel Berkaitan:

Aurad Muhamadiah juga telah diijazahkan oleh Syeikh Suhaimi kepada Ustaz Ashaari Muhamad dalam keadaan jaga, walaupun Syeikh Suhaimi telah meninggal pada tahun 1925 dan Ustaz Ashaari tidak sempat berjumpa dengan beliau dan hanya sempat berjumpa dengan anak murid Syeikh Suhaimi.

Ustaz Ashaari menganggap bahawa Syeikh Suhaimi ialah seorang wali kerana didapati bermacam-macam perkara luar biasa yang diizinkan ALLAH terjadi padanya, bahkan dimasukkan dalam golongan wali-wali besar (Kutubul Auliya’) yang mempunyai karomah (kemuliaan dan darjat).

No Image Caption

Doktrin sesat

Sedangkan Syeikh Suhaimi sebenarnya hanyalah manusia biasa yang mengamalkan ajaran Islam dengan baik dan juga seorang pendakwah yang mengajar ilmu-ilmu agama di daerah Klang, Selangor.

Ustaz Ashaari menganggap Syeikh Suhaimi tidak mati, tetapi dighaibkan dan akan muncul sebagai Imam Mahdi pada akhir zaman dan beliau sendiri akan menyambutnya. Berikut merupakan kefahaman Ustaz Ashaari tentang Imam Mahdi dan perjuangannya dengan merujuk kepada hadis-hadis akhir zaman serta ilham yang didapatinya dari semasa ke semasa sejak 40 tahun yang lalu:

1. Imam Mahdi ialah seorang lelaki yang masih hidup dan sedang dighaibkan ALLAH.

2. Dia akan zahir (muncul) ke dunia nyata pada waktu yang ALLAH kehendaki untuk melakukan kebangkitan Islam.

3. Pada hari zahirnya iaitu hari Jumaat bulan haji, ketika khatib sedang membaca khutbah Jumaat di mimbar Masjidil Haram di Makkah, tiba-tiba hidungnya berdarah kerana cuaca terlalu panas. Lalu khatib tadi itu turun dari mimbar dan naiklah khatib yang kedua untuk berkhutbah, tetapi hidungnya juga berdarah. Maka naiklah khatib yang ketiga, tetapi hidungnya juga berdarah. Demikianlah berlaku hingga sampai kepada enam orang khatib mengambil tempat, tetapi semuanya berdarah hidung mereka. Oleh kerana darah itu najis, maka batallah khutbah mereka semuanya. Maka yang terakhir, naiklah khatib yang ketujuh dan didapati hidungnya tidak berdarah, maka dialah yang menjadi imam solat Jumaat pada hari itu. Itulah dia Imam Mahdi sewaktu mula-mula dizahirkan ALLAH ke alam nyata setelah dighaibkan ALLAH selama 80 tahun. Kejadian itu mirip dengan kejadian sewaktu akan zahirnya Nabi Isa, waktu subuh di Masjid Omawi di Damsyik, Syria.

4. Nama Imam Mahdi ialah Muhammad bin Abdullah, ibunya Aminah, keturunan Bani Hasyim iaitu Arab Quraisy dan merupakan ahlul bait.

5. Imam Mahdi akan zahir tidak lama lagi iaitu selepas terjadinya daulah Islamiah di Malaysia iaitu sekitar tiga hingga empat tahun lagi.

6. Dari Makkah, dia akan ke Malaysia untuk menerima serahan kuasa dari Putera Bani Tamim. Hal ini berlaku setelah enam bulan kezahirannya di mimbar Masjidil Haram itu.

7. Dalam tempoh enam bulan itu, Imam Mahdi belum mengisytiharkan dirinya. Beliau hanya bertemu wazir-wazirnya (menteri-menterinya) dan mengatur strategi bagaimana untuk melengkapkan persiapan untuk pengisytiharan tersebut. Umat Islam yang sudah mengetahui keberadaannya walaupun tidak diisytiharkan, akan berbaiah kepadanya. Maka Imam Mahdi mensyaratkan mereka mesti berbaiah terlebih dahulu dengan Putera Bani Tamim, kemudian mengikuti kursus Ilmu Ikhwan dan Asoib di Malaysia. Kebanyakan yang berbaiah ialah syeikh-syeikh tarekat yang benar bersama pengikutnya, yang kebanyakannya adalah orang Timur Tengah dan juga dari seluruh dunia yang akan berbondong-bondong ke Malaysia.

8. Program penyerahan kuasa berlangsung hanya dalam masa satu malam kerana kerja-kerja menyiapkannya sudah dibuat oleh Putera Bani Tamim selama 40 tahun yang dipimpin oleh Imam Mahdi dari sebalik tabir.

9. Dengan kuasa daulah yang ada, sistem pemerintahan khalifah yang sudah wujud dan pengaruh yang sudah bertaraf dunia, Imam Mahdi akan memulakan operasi memerangi Amerika (Sufyani). Beliau akan menang dan dapat menguasai dunia.

10. Imam Mahdi memerintah dunia selama 40 tahun. Apabila dajal datang, Nabi Isa akan turun untuk membunuhnya. Nabi Isa akan membenarkan Imam Mahdi, hasilnya seluruh penghuni dunia akan menjadi pengikut Imam Mahdi.

Itulah sebahagian daripada doktrin-doktrin sesat ajaran Ustaz Ashaari yang ditanamkan dalam minda pengikut-pengikutnya sehingga ke hari ini.

Mereka gigih memperjuangkannya sebagai penyediaan tapak pemerintahan yang kukuh yang akhirnya diserahkan kepada Imam Mahdi.

Berkaitan dengan Aurad Muhamadiah, ia ialah suatu formula mengenai cara menjalinkan hubungan hati antara para pengikut dan para pemimpin supaya tetap dengan perjuangan di atas dasar ketaatan dan keikhlasan. Perjuangan yang dimaksudkan ialah pengukuhan ekonomi sehingga akhirnya mampu mendapatkan kuasa secara tidak langsung.

Adakah Aurad Muhamadiah masih diamalkan? Bagi menjawab persoalan itu, kita perlu melihat kepada ‘pengikut’ yang begitu taasub dengan pemimpin mereka hingga menurut apa sahaja yang diarahkan kepadanya oleh pemimpin.

Bahkan dalam memilih pasangan hidup, berpoligami dan mencari pekerjaan pun akan ditentukan oleh pemimpin. Anak-anak daripada kumpulan ajaran itu akan diasuh semenjak daripada usia kanak-kanak sehingga dewasa dan dipisahkan dari dunia luar dan juga arus perdana bagi memastikan kelangsungan perjuangan mereka.

Berdasarkan kepada pemantauan di laman sosial mendapati, terdapat beberapa individu yang masih mempromosikan Aurad Muhamadiah. Malah, telah dikesan pelajar-pelajar di sebuah sekolah tahfiz yang mengamalkan ‘Zikir Agung’ iaitu nama lain bagi Aurad Muhamadiah.

Sememangnya Aurad Muhamadiah tidak boleh dipisahkan daripada kumpulan itu dan mesti diamalkan bagi mendapatkan perlindungan daripada pengasasnya dan jika tidak diamalkan nescaya diyakini berkemungkinan besar akan mendapat bala daripada ALLAH SWT.

Seruan kepada seluruh umat Islam yang mengamalkan ajaran Islam hendaklah berpegang teguh dengan ajaran serta fahaman Ahlus Sunnah Waljamaah, sekali gus menolak dan menjauhi serta menghindari mana-mana ajaran sesat yang bercanggah serta menyimpang dari fahaman Ahlus Sunnah Waljamaah seperti ajaran Aurad Muhamadiah.