KDN rampas komik propaganda

Anggota KDN sedang memeriksa komik ketika serbuan di muzium tersebut pagi tadi.
Anggota KDN sedang memeriksa komik ketika serbuan di muzium tersebut pagi tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - 13 naskhah komik propaganda 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' terbitan Muzium Kebudayaan Komik Asia dirampas di premis tersebut yang terletak di Kompleks Tunku Abdul Rahman (Komtar).

Rampasan komik versi bahasa Cina itu dilakukan sepasukan penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika membuat serbuan serta pemeriksaan di muzium tersebut pada jam 11 pagi tadi.

Menurut sumber, lima penguatkuasa KDN membuat pemeriksaan selama sejam sebelum merampas 13 naskhah komik tersebut.

"Rampasan itu dibuat selepas KDN mewartakan perintah larangan terhadap komik tersebut termasuk dalam versi bahasa Inggeris dan bahasa Cina. Ini kerana, ia dipercayai cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme selain menyebarkan fakta yang salah serta mengelirukan.

"Dalam pemeriksaan itu, penguatkuasa KDN hanya menjumpai 13 naskhah komik dalam versi bahasa Cina yang dipamerkan di muzium tersebut," katanya di sini hari ini.

Muzium Kebudayaan Komik Asia yang diserbu pagi tadi.
Muzium Kebudayaan Komik Asia yang diserbu pagi tadi.

Semalam, KDN mewartakan perintah larangan tiga penerbitan komik bertajuk ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ serta versi bahasa Inggeris dan Cina melalui Warta Kerajaan P.U. (A)288/2019.

KDN dalam kenyataannya itu menegaskan, warta perintah larangan itu adalah mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Artikel Berkaitan:

Perintah larangan itu berikutan komik berkenaan boleh menimbulkan keraguan kepada pembaca khususnya generasi muda mengenai sejarah Malaysia seterusnya mempertikaikan usaha serta perjuangan tokoh atau pemimpin negara terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara.

Selain itu, kandungannya dilihat tidak mengambil kira sensitiviti rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama serta dibimbangi boleh memecahbelahkan keharmonian dan perpaduan masyarakat di negara ini.

Terdahulu wakil muzium yang ditemui berkata, pihaknya dikunjungi pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang selepas isu komik tersebut tular di media sosial.

Menurutnya, pegawai penguatkuasa itu meminta agar pihak muzium tidak menjual komik tersebut sehingga arahan lanjut dikeluarkan.

Komik tersebut yang diterbitkan Jun lalu dijual pada harga RM25 dengan dua versi iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Cina yang mana versi bahasa Malaysia belum dicetak.

AKAN MENYUSUL