Mara sahkan MRSM Imtiyaz YT Ketengah tamat operasi 31 Disember

MRSM
MRSM
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengesahkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Imtiyaz Yayasan Terengganu (YT) Ketengah di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Terengganu akan ditamatkan operasi pada 31 Disember ini atas persetujuan bersama Yayasan Terengganu.

Bahagian Komunikasi Korporat Mara berkata, penutupan maktab tersebut tidak memberi kesan kepada 134 pelajar tingkatan empat yang terlibat kerana mereka akan dipindahkan ke MRSM Kuala Terengganu.

Katanya, pertemuan dengan wakil ibu bapa pelajar selesai diadakan bagi memaklumkan mengenai perpindahan pelajar bermula sesi pengajian 2020.

“Semua pelajar juga tidak perlu menukar aliran atau subjek yang diambil kerana pihak Mara telah merancang perpindahan ini sejak awal dengan memastikan segala keperluan dari aspek pengajaran dan pembelajaran dipenuhi.

“Pelajar juga akan mendapat fasiliti dan suasana pembelajaran yang lebih kondusif di MRSM Kuala Terengganu kelak.

“Untuk makluman selain MRSM Imtiyaz YT Ketengah ini, Mara mempunyai empat buah MRSM di Terengganu iaitu MRSM Kuala Terengganu, MRSM Besut, MRSM Kuala Berang dan MRSM Kota Putra (Ulul Albab),” katanya.

Dalam pada itu menurutnya, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM130 juta bagi pembinaan sebuah lagi MRSM di Kampung Batu Tiong, Mukim Kuala Dungun, Terengganu dengan kapasiti seramai 750 pelajar.

Katanya, Mara merakamkan penghargaan atas kerjasama diberikan Yayasan Terengganu dan kerajaan Terengganu selama ini demi kelangsungan pembangunan pendidikan negara.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian semalam melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat berkata,

MRSM Imtiaz YT Ketengah akan ditutup dan diganti dengan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) yang beroperasi bermula 1 Januari 2020.