Tahanan LTTE: Permohonan habeas corpus didengar 31 Oktober ini

Peguam yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh (dua, kiri) hadir bersama Ahli Parlimen Jelutong R Sanisvara Nethaji Rayer (dua, kanan) ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas Mahkamah Tinggi menetapkan 31 Oktober untuk dengar permohonan habeas corpus difailkan lima individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi mencabar penahanan mereka berkaitan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). - Foto Bernama
Peguam yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh (dua, kiri) hadir bersama Ahli Parlimen Jelutong R Sanisvara Nethaji Rayer (dua, kanan) ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas Mahkamah Tinggi menetapkan 31 Oktober untuk dengar permohonan habeas corpus difailkan lima individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi mencabar penahanan mereka berkaitan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 31 Oktober ini untuk mendengar permohonan habeas corpus yang difailkan lima individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ditahan berkaitan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) supaya mereka dibebaskan serta-merta daripada tahanan.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Raja Shahril Anuar Raja Baniamin menetapkan tarikh itu dalam kamarnya semasa pengurusan kes yang turut dihadiri peguam Ramkarpal Singh yang mewakili kelima-lima pemohon.

Ramkarpal memberitahu media bahawa pihaknya memohon supaya kelima-lima individu itu dibawa ke mahkamah untuk mendengar prosiding pada hari tersebut.

“Tetapi permohonan itu belum disahkan oleh pihak Pendaftar. Ini akan dipertimbangkan oleh mahkamah,” katanya.

Semakan senarai kes mahkamah, permohonan itu akan didengar pada jam 9 pagi di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.

Pada 21 Oktober lepas, G Saminathan, 34; P Gunasekaran, 60; S Chandru, 38; V Suresh Kumar dan seorang juruteknik, S Arivainathan, 56, memfailkan permohonan habeas corpus di kaunter Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah di sini.

Saminathan dan Gunasekaran masing-masing merupakan ADUN Gadek (Melaka) dan ADUN Seremban Jaya (Negeri Sembilan) manakala Chandru dan Suresh Kumar merupakan ahli DAP.

Mereka memohon untuk mencabar penahanan mereka mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) berhubung isu tersebut. Mereka selaku pemohon menamakan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay; Insp. Jasveer Singh (pegawai polis yang menangkap mereka) ; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga kelima.

Artikel Berkaitan:

Dalam permohonan itu, kesemua mereka memohon perintah mahkamah bahawa penahanan mereka melalui notis di bawah Seksyen 5(1)a Akta SOSMA 2012 bertarikh antara 10 dan 12 Oktober lepas yang dikeluarkan responden kedua (Jasveer) dan dilaksanakan di bawah seliaan responden pertama (Ayob Khan) di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Kuala Lumpur adalah tidak sah dan terbatal.

Mereka juga memohon satu writ habeas corpus dikeluarkan mahkamah supaya dibebaskan serta-merta daripada tahanan, selain turut memohon relif-relif lain yang dianggap adil dan sesuai oleh mahkamah.

Permohonan itu juga meletakkan alasan penahanan mereka telah melanggari prinsip hak kesamarataan selain tidak mempunyai hak akses kepada peguam ketika kejadian.

Permohonan turut disertakan dengan sijil perakuan segera, supaya mahkamah menyegerakan pendengaran habeas corpus itu. Awal bulan ini, seramai 12 individu ditahan kerana disyaki terbabit menyokong dan menyalurkan dana untuk LTTE yang telah disenarai sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014. - Bernama