Jadual padat menanti Dr Mahathir di Baku

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

BAKU - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijadualkan tiba di sini petang ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pergerakan negara-negara Berkecuali (NAM) ke-18 mempunyai jadual yang padat dengan sekurang-kurangnya lima mesyuarat dua hala dengan pemimpin asing.

Dr Mahathir dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Heydar Aliyev pada jam 6.00 petang waktu tempatan (10 malam waktu Malaysia).

Seorang pegawai kanan Malaysia berkata, sebaik tiba Dr Mahathir yang akan diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dijangka mengadakan perjumpaan dengan Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev.

Menurutnya, pihak Malaysia menerima banyak permohonan bagi mengatur perjumpaan dengan perdana menteri dari Malaysia yang berusia 94 tahun itu, yang merupakan negarawan paling tua memimpin negara ketika ini.

“Selain mesyuarat dengan Presiden Ilham, ada juga permohonan bagi Perdana Menteri untuk menemui pemimpin-pemimpin dari Pakistan, Iran, Bangladesh dan Korea Utara di luar Sidang Kemuncak,” katanya.

Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina; Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan; Presiden Iran, Hassan Rouhani serta pemimpin nombor dua Korea Utara dan Presiden Presidium Supreme People's Assembly (SPA), Choe Ryong-hae, dijangka menghadiri sidang kemuncak dua hari itu.

Pada pagi Jumaat, Dr Mahathir akan ditemuramah oleh media saluran Islam berpengkalan di UK, sebelum menyertai pemimpin-pemimpin dari lebih 20 negara pada majlis pembukaan Sidang Kemuncak NAM ke-18 di Pusat Kongres Baku.

Dr Mahathir, yang kali terakhir menghadiri Sidang Kemuncak NAM semasa Malaysia menjadi tuan rumah pada tahun 2003 kemudiannya akan mengambil bahagian dalam Perbahasan Agung berhubung tema Sidang Kemuncak, yakni 'Berpegang Kepada Prinsip Bandung bagi memastikan respons yang konkrit dan mencukupi terhadap Cabaran Kontemporari Dunia'.

Artikel Berkaitan:

Di hari ketiga di sini, Dr Mahathir dijadual melawat Greentech Farm, kompleks rumah hijau moden yang menggunakan teknologi canggih dalam penghasilan sayur-sayuran organik.

Perdana Menteri juga dijadualkan melawat pejabat Petronas yang sehingga kini telah melabur lebih AS$4 bilion (RM16.74 bilion) di Azerbaijan.

Menurut laporan, Petronas memiliki 15.5 peratus kepentingan dalam projek Shah Deniz dan di dalam projek South Caucasus Gas Pipeline, di samping memiliki 12.4 peratus kepentingan dalam Azerbaijan Gas Supply Company.

Dr Mahathir kemudian akan menemui diaspora Malaysia yang berada di Azerbaijan dan mengadakan persidangan media dengan media Malaysia sebelum berlepas ke Ashgabat untuk lawatan dua hari ke Turkmenistan. - Bernama