Rogol anak 12 tahun, bapa durjana dihukum 18 tahun penjara

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA – Seorang bapa terpaksa meringkuk dalam penjara selama 18 tahun dan dikenakan enam sebatan kerana melakukan sumbang mahram terhadap anak perempuannya yang berumur 12 tahun.

Ini berikutan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wira Mohtarudin Baki yang mengetuai panel tiga hakim menolak rayuan bapa berusia 37 tahun itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2017 yang menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan enam sebatan.

”Kami dapati rayuan tidak mempunyai merit. Rayuan ditolak dan hukuman Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata Hakim Mohtarudin yang bersidang bersama Hakim Datuk Rhodzariah Bujang dan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Terdahulu bapa tiga anak yang tidak diwakili peguam itu memohon supaya hukuman itu dikurangkan kerana dia sudah insaf dan ingin pulang ke pangkuan keluarganya.

“Saya minta tolong mahkamah kurangkan hukuman. Isteri saya kerja di kedai makan dan tidak tahu macam mana keadaannya. Saya orang susah,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Syahril Nik Ab Rahman memohon supaya hukuman Mahkamah Tinggi itu dikekalkan kerana lelaki itu telah melakukan kesalahan serius dengan merogol anak sendiri.

“Oleh itu hukuman perlu setimpal bagi menyampaikan mesej yang jelas bahawa kesalahan ini serius. Mengikut trend, kebiasaannya bagi kesalahan ini hukuman penjara adalah 18 tahun,” katanya.

Pada Februari 2017, Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dengan tiga sebatan selepas lelaki itu mengaku bersalah melakukan persetubuhan dengan anaknya di sebuah rumah di Bandar Utama Batang Kali, Hulu Selangor, Selangor pada 12.30 malam 18 Jun 2016.

Artikel Berkaitan:

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, pihak pendakwaan merayu ke Mahkamah Tinggi dan mahkamah itu membenarkan rayuan seterusnya menambah hukuman kepada 18 tahun dengan enam sebatan.

Pertuduhan mengikut Seksyen 376(B)(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebatan. - Bernama