Produk kraf kayu dipastikan bebas bahan kimia: Kraftangan

Ibrahim (kanan) melihat meja yang siap direka oleh kakitangan Kraftangan menggunakan produk campuran bahan resin dan kayu ketika melawat makmal itu hari ini.
A
A

KUANTAN - Kraftangan Malaysia akan memastikan penghasilan produk kraf kayu campuran bahan resin seperti perabot adalah mesra dan selamat digunakan pengguna.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail berkata, keselamatan pengguna dititikberatkan dalam menghasilkan produk kraf kayu yang kini masih di peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Saya akui masyarakat menggunakan pelbagai produk seperti meja makan pada setiap hari dan turut meletakkan makanan di atasnya (meja)..jadi sebab itu kita mahu pastikan bahawa produk keluaran kraftangan bebas dari sebarang toksiknya serta tidak merbahaya kepada pengguna.

"Sebab itulah R&D dilakukan bagi memastikan produk yang akan dijual selamat sebelum teknologi ini dikembangkan kepada usahawan kita," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai pembukaan makmal teknikal produk campuran bahan resin dan kayu (perabot kayu) Kraftangan Malaysia di Pejabat Kraftangan Pahang, Kampung Pandan 2 hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kraftangan Pahang, Mohd Latiff Dirun, Pengarah Bahagian Rekaan dan Penyelidikan, Mohd Yusof Ab Rani serta Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri, Ainu Sham Ramli.

Ibrahim berkata, selain itu pihaknya akan mempertingkatkan penghasilan dari segi reka bentuk menerusi pendekatan teknikal lebih kursus agar pembuatan lebih komprehensif.

Jelasnya, jika sebelum ini Kraftangan lebih kepada ukiran, namun kini pihaknya melakukan inovasi baru dalam penghasilan produk kayu yang mempunyai nilai tinggi.

"Kita bukan saja membuat perabot, tetapi turut membuat cenderahati dan produk- produk ini akan diperkenalkan tahun 2020 sempena Tahun Melawat Malaysia.

"Jadi kita akan hasil cenderahati dari produk kayu untuk diberikan kepada pelancong dan kini kita berusaha mempelbagaikan produk kayu dengan membuat pelbagai olahan," katanya yang memaklumkan produk kraf kayu masih belum berada di pasaran.

Dalam pada itu Ibrahim berkata, pihaknya berharap untuk mengembangkan lagi penghasilan produk kraf kayu di Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat.

Katanya, kedua-dua negeri itu mempunyai sumber kayu yang banyak di samping mempunyai permintaan tinggi terhadap produk berasaskan kayu.