Ronnie akan dirujuk Jawatankuasa Disiplin DAP, Majlis Presiden PH

Anthony Loke
A
A

KLANG - Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke akan merujuk Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dan Jawatankuasa Disiplin DAP.

Tindakan tersebut dilakukan berhubung kenyataan Ronnie bahawa PH boleh membentuk kerajaan tanpa Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Anthony berkata, kenyataan Ronnie sebagai tidak bertanggungjawab dan sabotaj keharmonian PH.

"Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ronnie adalah pandangan peribadinya. Ia merupakan kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan tidak mewakili pendirian DAP.

"Kenyataan Ronnie ini boleh dilihat sebagai tindakan sabotaj, sesuatu yang sangat serius. Saya lihatnya sebagai tindakan sabotaj untuk mengganggu kestabilan dan keharmonian gabungan PH," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Sebelum ini, Ronnie yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu menyatakan gabungan PH akan kekal kukuh sebagai kerajaan walaupun tanpa Bersatu.

ARTIKEL BERKAITAN: ADUN Bersatu sedia tinggalkan PH tanda protes DAP

Beliau turut memberi amaran kepada Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sering membuat keputusan yang bercanggah dengan kepimpinan PH.

Dalam pada itu, Anthony berkata, kenyataan itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh mana-mana pemimpin DAP ataupun mana-mana pemimpin PH.

"PH adalah gabungan empat parti, Bersatu, Amanah (Parti Amanah Negara), PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan DAP. Kami menang PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) atas platform bersama PH dan diberi mandat oleh rakyat untuk membentuk kerajaan di bawah kepimpinan Dr Mahathir.

"Tidak ada pemimpin DAP yang harus mempersoalkan PH," katanya.

Katanya, tiada pemimpin yang harus membincangkan pembuangan mana-mana parti dari gabungan itu.

"Kami komited terhadap PH dan kami menghantar mesej kepada Ronnie serta semua orang lain," tegas beliau.