'Terserah kepada pimpinan Bersama' - Rafizi ulas isu Nik Nazmi ditahan JAIS

Rafizi dan Nik Nazmi mengambil alih parti Bersama yang dahulunya dikenali sebagai Malaysian United Party (MUP) pada 17 Mei lalu sebagai platform politik baharu. - FOTO: Facebook Nik Nazmi Nik Ahmad.
Rafizi dan Nik Nazmi mengambil alih parti Bersama yang dahulunya dikenali sebagai Malaysian United Party (MUP) pada 17 Mei lalu sebagai platform politik baharu. - FOTO: Facebook Nik Nazmi Nik Ahmad.
A
A
A

AMPANG - Kes tangkap khalwat bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dengan seorang wanita diserahkan kepada barisan kepimpinan Parti Bersama Malaysia (Bersama) untuk tindakan selanjutnya, kata Datuk Seri Rafizi Ramli.

Bekas Menteri Ekonomi itu berpandangan, keperluan sama ada Nik Nazmi direhatkan, disabitkan kesalahan atau sebaliknya tertakluk kepada proses perlembagaan Bersama.

Rafizi bagaimanapun menghargai tindakan Nik Nazmi yang sanggup menjelaskan keadaan sebenar, memohon maaf dan menerima apa jua kemungkinan tindakan disabitkan ke atasnya menerusi kenyataan media terbaharu di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Nik Nazmi bukan mangsa perangkap JAIS – MAIS

"Saya sebagai kawan menghargai tindakannya kerana beliau tidak mempolitikkan keadaan dan menerima hakikat. Seterusnya adalah proses dalaman di peringkat pimpinan Bersama.

"Nik Nazmi dan saya hanya ahli biasa Bersama, kita ada pimpinan dan proses (yang perlu dilalui) mengikut perlembagaan. Saya serahkan kepada pimpinan parti.

"Beliau pun menyatakan kesediaannya untuk melalui proses itu. Kita perlu terikat kepada keputusan yang bersabit perlembagaan dibuat mereka, kena tunggu keputusan pimpinan Bersama," katanya kepada Sinar Harian ketika program Kenduri Bersama Pandan Taman Kencana di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Nik Nazmi mengesahkan dirinya ialah salah seorang daripada dua individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam insiden tangkap khalwat di Petaling Jaya pada Khamis lalu.

Sambil menjelaskan keadaan sebenar, beliau bersama rakan-rakannya memulakan perbincangan di sebuah studio di Brickfields, Kuala Lumpur sebelum memutuskan untuk meneruskannya di Petaling Jaya bagi melihat beberapa bahan berkaitan projek.

Artikel Berkaitan:

Beliau mengakui ketika pegawai JAIS tiba, hanya dirinya dan wanita terbabit yang ada di dalam premis berkenaan.

Namun, bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menegaskan tiada tindakan sumbang yang menimbulkan syak wasangka terjadi.

Nik Nazmi bagaimanapun enggan memanjangkan isu berkenaan, sebaliknya sedia menerima apa jua keputusan Bersama selain memberikan kerjasama bagi sebarang proses perundangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!