ADUN Bersatu sedia tinggalkan PH tanda protes DAP

Mohd Shaid, Ronnie Liu
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli bersedia meninggalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor sekiranya Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu tidak menghormati kepimpinan tertinggi PH.

Mohd Shaid berkata, tindakan itu merupakan protes kepada DAP berhubung cadangan Ronnie membuang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam komponen PH.

"Saya yakin dan percaya bahawa Dr Mahathir (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohmad) mampu membina satu kerajaan baharu tanpa DAP sekali gus memadamkan keegoan DAP dengan membentuk gabungan kerajaan Melayu Islam yang baharu," katanya.

Menurutnya, Ronnie dan kepimpinan tertinggi DAP dicabar membawa usul membuang Bersatu dari komponen PH di dalam mesyuarat majlis presiden gabungan terbabit.

"Saya percaya bahawa Ronnie masih berdendam dengan Dr Mahathir dan masih terbawa-bawa sifat sebenar DAP iaitu rasis dalam mengeluarkan kenyataan," katanya.

Katanya, kenyataan Ronnie itu disifatkan sangat keterlaluan dan melampaui batas yang mana perkara itu boleh menjejaskan hubungan dan kerjasama antara parti di dalam PH.

"Tindakan mempersoalkan kredibiliti Dr Mahathir adalah suatu perkara yang biadab dan sangat sombong apabila menyatakan pendirian bahawa PH mampu membentuk kerajaan tanpa Bersatu.

"Saya masih yakin bahawa Dr Mahathir masih relevan sebagai Perdana Menteri dan ketika ini rakyat masih memerlukan beliau untuk memulihkan negara," katanya.

Sementara itu, pembangkang Selangor bersedia menerima Mohd Shaid dengan hati terbuka jika beliau sanggup meninggalkan PH demi mempertahankan pendiriannya.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Rizam Ismail berkata, pihaknya amat mengalu-alukan Mohd Shaid sekali gus menambah ahli dalam proses semak dan imbang pentadbiran kerajaan negeri.

“Saya dihubungi oleh Mohd Shaid yang memaklumkan beliau bersedia menjadi pembangkang pada sidang DUN nanti kerana sudah tawar hati dan berasa sangat kecewa dengan kenyataan Ronnie .

“Beliau juga menyatakan bahawa sudah berasa tawar hati untuk bekerjasama dengan DAP yang kini semakin bermuka-muka dan sudah menunjukkan wajah sebenar parti itu yang sejak dahulu lagi kita kenal bersifat rasis,” katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.