Dakwaan Pas terima habuan tuduhan liar: Ahmad Amzad

Ahmad Amzad
Ahmad Amzad
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim menempelak dakwaan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad bahawa Pas menerima habuan daripada UMNO.

Beliau yang juga Naib Yang Dipertua Pas Kuala Terengganu berkata, dakwaan itu disifatkan sebagai tuduhan liar malah tiada bukti kukuh untuk mengaitkan Pas menerima suntikan dana daripada UMNO.

"Tiada bukti kukuh yang disampaikan dalam dakwaan baharu beliau kononnya Pas terima banyak habuan daripada UMNO.

"Ia masih lagi tuduhan liar," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Amzad berkata, Pas tidak akan memilih untuk melawan UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekiranya benar menerima suntikan dana daripada parti itu.

"Jika benar Pas terima habuan daripada UMNO, kami tak berlawan tetapi kami akan berkawan dan berpakat untuk bersama-sama kalahkan Amanah.

"Ini tidak. Kami lawan betul-betul. UMNO bukan letak calang-calang orang sebagai calon. Jika olok-olok, baik letak siapa sesiapa sahaja sebagai ambil syarat," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dakwaan bahawa bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa merupakan pengantara antara Pas dan UMNO juga tidak benar.

Artikel Berkaitan:

"Setahu saya Nasharudin dah lama tiada urusan dengan Pas. Saya sendiri sejak 2009 tak pernah nampak kelibat beliau di mana-mana program Pas sama ada kecil atau besar," katanya.

Semalam, Raja Kamarul Bahrin ketika ditemubual sebuah portal berita mendedahkan dakwaan ke atas Nasharudin telah membongkar hubungan sulit UMNO dan Pas yang terjalin sejak sekian lama.

Katanya, Nasharudin adalah pengantara dan penyambung hubungan antara Pas dan UMNO malah sejak awal lagi bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Nik Aziz Nik Mat kurang senang peranan dimainkan Nasharudin untuk mendekatkan UMNO dan Pas.