Ada lagi persoal caj beg plastik

Veerapan (tengah) berharap masyarakat mengamalkan budaya membawa beg plastik ketika membeli belah.
Veerapan (tengah) berharap masyarakat mengamalkan budaya membawa beg plastik ketika membeli belah.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan negeri mendedahkan masih ada pihak mempersoalkan kewajaran caj beg plastik di pasar raya atau pusat membeli belah meskipun ia langkah untuk mengurangkan penggunaan plastik.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembulan, S Veerapan berkata, persepsi itu jelas menunjukkan budaya membawa beg sendiri untuk membeli-belah masih asing dalam masyarakat di negara ini, begitu juga dengan budaya kitar semula.

"Beberapa negeri seperti Selangor dan Melaka telah mula melaksanakan polisi bebas plastik dengan mengenakan caj tertentu bagi setiap penggunaan beg plastik dan di Negeri Sembilan, caj dikenakan pada hari Sabtu.

"Ada yang menyokong usaha tersebut dan ada juga yang mempersoalkan kewajaran pengenaan caj berkenaan. Kempen hindari penggunaan plastik cara paling berkesan tangani pencemaran plastik tapi ia sukar dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Hari Alam Sekitar Negara dan Penganugerahan Hari Alam Sekitar Negara dan Penganugerahan Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) Peringkat Negeri Sembilan 2019, di sini malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Norlin Jaafar; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAS, Wan Abdul Latif Wan Jaafar; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Norhazni Mat Sari dan pemangku Pengarah JAS Negeri Sembilan, Sharifah Zakiah Syed Sahab.

Mengulas lanjut katanya, kajian menunjukkan kadar kitar semula rakyat di negara ini hanyalah 17.5 peratus pada 2016.

Sehubungan itu beliau berkata, semua pihak perlu ada kesedaran dan rasa tanggungjawab untuk sama-sama mainkan peranan mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

"Kadang-kala kita terlupa bahawa tindakan yang kita lakukan, walau pun hanya berkaitan dengan penggunaan beg plastik boleh mengundang kepada kemerosotan kualiti alam sekitar dan seterusnya menjejaskan keindahan dan kebersihan alam sekitar.

"Perkongsian tanggungjawab ke atas alam sekitar oleh setiap lapisan masyarakat adalah penting kerana kitalah yang memegang amanah untuk menjaga alam sekitar ini," katanya.

Mengenai SLAAS beliau berkata, Sekolah Kebangsaan (Felda) Sungai Lui Selatan dinobatkan juara peringkat Negeri Sembilan bagi kategori Sekolah Harapan Peringkat Kebangsaan.