Operator maut tangan tersepit mesin

Pegawai JKKP Perak memeriksa kawasan kejadian ketika menjalankan siasatan terhadap premis tersebut hari ini. -Foto JKKP Perak
A
A

TAIPING - Seorang operator mesin ditemui maut dalam keadaan tangan tersepit mesin di sebuah kilang pembuatan tayar di Kamunting, di sini.

Mangsa, Saad Kamis, 48, merupakan warga tempatan meninggal di Hospital Taiping selepas rakan sekerja menemuinya dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan tangan dalam keadaan tersepit di antara liner dan roller mesin tersebut.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Ir Zamzurin Maarof berkata, kejadian dilaporkan kira-kira jam 8.50 pagi ketika mangsa berada dalam kawasan 'wind up station'.

Katanya, susulan kejadian itu, sepasukan pegawai penyiasat JKKP dihantar ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.

"Hasil siasatan awal mendapati majikan gagal menyediakan prosedur kerja selamat dan penaksiran risiko yang lengkap untuk proses pada mesin tersebut.

"JKKP Perak telah mengarahkan kerja-kerja pengendalian mesin di bahagian tersebut dihentikan dengan serta-merta," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Zamzurin berkata, pihaknya telah mengeluarkan tujuh notis larangan kepada pemilik premis berkenaan.

Katanya, tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

"JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.

"Kejadian seumpama ini boleh dielak jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC)," katanya.

Beliau berkata, majikan juga bertanggungjawab mengenalpasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

Menurutnya, langkah itu bertujuan mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan.