Warga emas 63 tahun pengsan ketika mendaki bukit


LUMUT – Seorang wanita warga emas pengsan ketika melakukan aktiviti mendaki di Bukit 300 Trail, Teluk Batik di sini pada Rabu.
Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.49 petang.
Menurutnya, mangsa berusia 63 tahun itu dilaporkan pengsan ketika berada di Peak 7 bukit berkenaan yang berketinggian kira-kira 300 meter dari paras laut.
"Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung tiba di lokasi pada jam 6.20 petang dan dimaklumkan mangsa berada kira-kira dua kilometer dari kaki bukit.
"Anggota bomba terpaksa berjalan kaki untuk ke lokasi mangsa bersama dua petugas KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Shazlean berkata, sebaik tiba di lokasi, mangsa didapati telah sedar dan pemeriksaan lanjut oleh petugas KKM mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambah beliau, ketua operasi seterusnya mengarahkan anggota membawa turun mangsa ke kaki bukit menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak KKM untuk dibawa ke Hospital Seri Manjung menggunakan ambulans bagi pemeriksaan lanjut.
Dalam operasi itu, seramai lapan anggota bomba terlibat bersama tiga petugas KKM dan empat orang awam, dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
Operasi berjaya dikawal pada jam 7.13 malam dan ditamatkan sepenuhnya 10 minit kemudian.
Ringkasan AI
- Seorang wanita warga emas pengsan ketika mendaki di Bukit 300 Trail, Teluk Batik
- Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.49 petang
- Mangsa berusia 63 tahun pengsan di Peak 7, kira-kira 300 meter dari paras laut
- Anggota bomba dan petugas KKM berhasil menolong mangsa yang kemudian didapati tidak mengalami kecederaan
- Operasi penyelamatan berjaya dikawal dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.23 malam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

