Pekerja kilang maut tersepit mesin penarik fiber

Mangsa seorang lelaki berumur 21 tahun tersepit pada mesin penarik fiber ketika sedang bekerja.
Mangsa seorang lelaki berumur 21 tahun tersepit pada mesin penarik fiber ketika sedang bekerja.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pekerja kilang warga Bangladesh maut akibat tersepit mesin fiber dalam kejadian di sebuah kilang di Jalan Bukit Kemuning awal pagi Sabtu.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 7.06 pagi.

"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dengan kekuatan seramai 10 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 7.17 pagi.

"Kejadian melibatkan mangsa seorang lelaki berumur 21 tahun telah tersepit pada mesin penarik fiber ketika sedang bekerja," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, pihaknya mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa.

"Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Shah Alam bagi tindakan selanjutnya," katanya.

Menurutnya, kes kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.