Belanjawan 2020 tiada perancangan isu keselamatan: Hishammuddin

Hishammuddin ketika ditemui media di lobi Parlimen. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Hishammuddin ketika ditemui media di lobi Parlimen. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Belanjawan 2020 tidak menyediakan satu pelan perancangan strategik untuk menyelesaikan isu keselamatan negara terutama di Sabah yang terpalit dengan kemelut siri penculikan daripada kumpulan militan.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong) berkata, kerajaan sepatutnya tidak perlu berkira-kira dalam menyalurkan peruntukan terutama dalam menangani isu keselamatan.

Menurutnya, kegagalan itu turut membuktikan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu (PH-Bukit Raja) tidak mempunyai kualiti kepimpinan dan hala tuju jelas dalam melaksanakan tanggungjawab memastikan isu pertahanan negara dikendalikan sebaiknya.

"Kerajaan tidak boleh berkira-kira untuk menyalurkan peruntukan dalam menyelesaikan isu keselamatan negara kerana perkara itu tidak boleh diperjudikan.

"Kerajaan menerusi Kementerian Pertahanan perlu mempunyai hala tuju jelas walaupun kekurangan pengalaman mentadbir, perlu memastikan kementerian itu berfungsi secara berkesan menerusi peruntukan disalurkan," katanya sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Pembekalan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Hishammuddin yang juga bekas Menteri Pertahanan berkata, alasan Mohamad masih lagi baru dilantik menteri tidak dapat diterima memandangkan pemimpin Amanah itu dibantu pegawai-pegawai penting kementerian yang sudah lama berkhidmat.

Beliau turut merujuk isu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang tidak dapat ditangani kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan baik sehingga mencatatkan kerugian berbanding tahun terdahulu dan hanya mampu mengumumkan keuntungan dividen 2 peratus pada tahun kewangan 2018.

Hishammuddin turut memerli kenyataan Mohamad sewaktu berucap pada Sidang Kemuncak Keselamatan Asia Ke-18 di Singapura awal tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Ini bukan sahaja melibatkan pergaduhan gajah dengan gajah semata-mata," katanya.

Bagaimanapun RSN Rayer(PH-Jelutong) mempertikaikan dakwaan Hishammuddin dengan mengatakan isu LTAT diwarisi daripada kerajaan terdahulu dengan selain meminta pandangan Hishammuddin sama ada beliau bersetuju Kementerian Pertahanan patut diberikan lebih masa.