Rokok putih bernilai RM214,077 dirampas

Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang merampas pelbagai jenis rokok seludup.
Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang merampas pelbagai jenis rokok seludup.
A
A
A

KLANG – Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang merampas 950 karton rokok putih pelbagai jenis bernilai RM 214,077 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman USJ, Subang Jaya, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, pihaknya mengesan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Harrier yang dinaiki suspek di kawasan perumahan di Jenjarum, Banting pada jam 9.30 pagi.

“Kita telah mengekori suspek sehingga ke Taman USJ, Subang Jaya. Pada awalnya kita kehilangan jejak kenderaan itu, namun usaha mengesan kenderaan itu berjaya apabila kita menjumpainya diletakkan di dalam pagar sebuah rumah,” katanya dalam satu kenyataan tadi.

Rosman berkata, siasatan lanjut pihaknya menemui pelbagai jenis rokok dalam kereta berkenaan.

“Kita turut menemui sejumlah rokok tidak sah diletakkan di ruang tamu rumah berkenaan. Kita mendapati pintu dapur rumah terbuka dipercayai digunakan suspek untuk melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis,” katanya.

Menurutnya, kenderaan yang digunakan suspek turut dirampas dan dianggarkan bernilai RM45,000.

“Kenderaan dan rokok yang dirampas itu dibawa ke Markas Operasi PPM Klang bagi tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967.

“Kita akan terus mempertingkatkan lagi pengumpulan maklumat dan operasi daripada semasa ke semasa bagi menangani kegiatan penyeludupan di perairan negara,” katanya.

Artikel Berkaitan: