Polis profesional semasa ambil keterangan: Ramasamy

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy (empat kiri) hadir di Ibu Pejabat Bukit Aman semalam. -Foto Bernama
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy (empat kiri) hadir di Ibu Pejabat Bukit Aman semalam. -Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy berpuas hati dengan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan tugas mereka berhubung satu laporan polis yang dibuat terhadapnya berkaitan dua artikel yang disiarkan portal berita tempatan, bulan lepas.

Ramasamy berkata, anggota PDRM telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan profesional dalam mengambil keterangannya selama tiga jam di Bukit Aman.

"Saya faham peranan mereka (polis) dan saya rasa kelakuan mereka adalah sangat profesional dan saya tidak ada apa-apa masalah," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Semalam, Ramasamy yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai telah hadir ke Bukit Aman bersama peguamnya, K Ragunath untuk memberi keterangan berhubung dua artikel yang disiarkan portal berita, bulan lepas.

Beliau diminta untuk memberi keterangan berhubung dua artikel yang disiarkan portal berita tempatan bertajuk ‘Kerajaan Baharu Tapi Polis Pada Takuk Lama - Ramasamy’ disiarkan portal Malaysia Gazette dan artikel Malaysiakini bertajuk ‘Who am I, peacemaker or terrorist’.

Dalam artikel ‘Kerajaan Baharu Tapi Polis Pada Takuk Lama - Ramasamy’ yang disiarkan pada 17 September lepas itu, Ramasamy telah mengulas tindakan polis menembak mati tiga lelaki yang disyaki perompak di Kilometer 22, Jalan Rawang menghala Batu Arang, Selangor, 14 September lepas.

Katanya, beliau turut memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). - Bernama

Artikel Berkaitan: