Laporan EIA projek kuari Gunung Pulai belum diterima: Mukhriz

Mukhriz (kanan) berbincang dengan Exco Datuk Dr Ismail Salleh sebelum persidangan bermula.
Mukhriz (kanan) berbincang dengan Exco Datuk Dr Ismail Salleh sebelum persidangan bermula.
A
A
A

ALOR SETAR - Syarikat Yiked Holdings belum mengemukakan Laporan Impak Penilaian Alam Sekitar (EIA) terkini bagi projek kuari batu kapur di Gunung Pulai, Baling.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, tarikh akhir penyerahan laporan berkaitan adalah pada 22 September lalu seperti ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah.

Menurutnya, ini menyebabkan JAS mengeluarkan surat pemakluman kepada tetuan Yiked Holdings pada 23 September berhubung kelewatan laporan EIA itu yang kini masih belum dapat diluluskan.

“Proses pengambilan tanah penduduk sudah selesai 7 Ogos lalu, bagi penduduk yang membantah, kes akan dirujuk ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika menjawab soalan lisan Abd Nasir Idris (Pas-Bayu) berhubung laporan EIA dan pengambilan tanah penduduk untuk tapak kuari Gunung Pulai pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.

Menjawab soalan Abd Nasir berhubung perancangan kerajaan negeri mengubah status projek kepada eko-pelancongan, Mukhriz mengakui sudah melawat lokasi dan mengadakan perjumpaan bersama penduduk terlibat dengan aktiviti pelancongan Gunung Pulai.

“Projek kuari itu akan mengganggu potensi pelancongan khususnya gua di kawasan berdekatan.

Saya sudah kemukakan cadangan kepada penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan ketika ini kita menerima satu cadangan daripada Yiked Holdings,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengalu-alukan cadangan alternatif daripada penduduk termasuk GLC mahupun pihak swasta yang berminat membangunkan kawasan terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Sektor pelancongan jangka pendek tidak mampu menyaingi hasil diperoleh daripada aktiviti kuari, namun kerajaan negeri serius berhubung kelestarian alam sekitar dan potensi pelancongan. Saya perlu ambil masa meneliti EIA termasuk cadangan pembangunan pelancongan di situ,” katanya.

Mukhriz berkata, pihaknya turut berbincang dengan Yiked Holdings dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk mengubah tempat kuari agar tidak mengganggu potensi pelancongan Gunung Pulai.

“Hasil daripada laporan diterima, terdapat kawasan lain yang tidak dihuni ramai penduduk dan kawasan baharu itu boleh dipertimbangkan untuk aktiviti kuari. Saya sudah bangkitkan kepada Yiked dan mohon agar mereka segera mengenal pasti lokasi sesuai dan membuat semula permohonan baharu,” katanya.