Netanyahu gagal bentuk kerajaan gabungan

Netanyahu
Netanyahu
A
A
A

TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sekali lagi gagal untuk membentuk kerajaan gabungan walaupun selepas negara itu mengadakan dua kali Pilihan Raya Umum dalam tempoh empat bulan.

Pemimpin Parti Likud itu yang berputus asa atas kegagalan itu bertindak menyerahkan semula mandat kepada Presiden Reuven Rivlin.

Semalam, Netanyahu, 70, turut menyuarakan kekecewaan beliau kerana gagal mencapai kesepakatan dengan pesaingnya, Benny Gantz menerusi video yang dikongsi menerusi akaun Facebook miliknya.

"Sejak beberapa minggu lalu saya berusaha memujuk Gantz untuk berunding. Segala usaha adalah untuk menubuhkan kerajaan perpaduan nasional yang lebih luas dan mengelakkan lagi pilihan raya. Saya berasa kesal kerana usaha itu berterusan ditolak mentah-mentah," katanya dalam nada kesal.

Difahamkan, Rivlin memberikan peluang pertama kepada Netanyahu untuk membentuk kerajaan kerana blok parti haluan kanan yang diketuai Likud memenangi 56 daripada 120 kerusi di Parlimen ketika pemilihan pada 17 September lalu.

Difahamkan, sebagai parti tunggal, Parti Biru dan Putih pimpinan Gantz mendahului satu kerusi berbanding Likud yang meraih 33 kerusi.

Susulan keputusan dibuat Netanyahu itu, Rivlin memaklumkan beliau akan mengadakan rundingan dengan beberapa parti politik untuk menyuarakan hasratnya bagi menyerahkan tanggungjawab itu kepada Gantz.

Sementara itu, Parti Biru dan Putih memberitahu ia mahu membentuk kerajaan perpaduan liberal yang dipimpin bekas ketua jeneral terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Masa berlalu dengan pantas dan sudah tiba masanya untuk bertindak," kata parti itu dalam satu kenyataan.

Mandat baharu yang diserahkan Rivlin itu kini memberikan Gantz tempoh selama 28 hari untuk membentuk kerajaan.

Jika beliau gagal, Israel dijangka berdepan senario tidak pernah berlaku sebelum ini iaitu terpaksa mengadakan pilihan raya ketiga dalam tempoh kurang setahun. - Agensi