Taktik menyamar pelancong tak menjadi

Peniaga warganegara Thailand ditahan pihak berkuasa.
Peniaga warganegara Thailand ditahan pihak berkuasa.
A
A
A

PADANG BESAR - Menggunakan alasan sebagai pelancong menjadi taktik buat peniaga asing yang berniaga secara haram di Arked Peniaga Padang Besar.

Pengarah Imigresen Perlis, Basri Othman berkata, helah terbabit bagaimanapun berjaya dihidu pihak penguat kuasa dengan penahanan 27 peniaga warga asing yang menjalankan perniagaan di negara ini tanpa Pas Lawatan kerja Sementara (PLKS) yang sah.

"Mereka ditahan melalui beberapa siri operasi bersepadu (Ops Belanja) iaitu pada 3, 19 dan 20 Oktober dengan kerjasama 35 anggota dan pegawai.

"Operasi bersepadu yang dijalankan bertujuan ntuk memastikan setiap warga asing yang berniaga dan bekerja di negara ini mempunyai pas yang sah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Basri, pihak imigresen turut melakukan pemeriksaan terhadap 46 premis perniagaan di kawasan tersebut melibatkan 55 individu termasuk 40 wanita dan 15 lelaki terdiri daripada warganegara Malaysia dan asing.

"Hasil pemeriksaan mendapati enam lelaki dan 21 perempuan warganegara Thailand telah berniaga dan bekerja di negara ini secara tidak sah.

"Mereka dipercayai telah menyalahgunakan pas tersebut dan telah ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas," katanya.

Basri berkata, kesemua yang ditahan berumur dalam lingkungan 21 hingga 52 tahun dan direman selama 14 hari mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) di Depot tahanan Imigresen Kangar.

Artikel Berkaitan:

"Dalam operasi ini juga, pihak Imigresen mengesan kewujudan tonto yang dipercayai diupah untuk mengawasi pergerakan pegawai penguat kuasa bagi tujuan menggagalkan operasi yang dijalankan.

"Walau bagaimanapun, pegawai operasi telah berjaya mengelak daripada dikesan oleh tonto sebelum memasuki premis," katanya.

Basri berkata, terdapat juga pemilik premis yang menyewakan premis berserta lesen perniagaan mereka kepada warganegara asing untuk menjalankan perniagaan.

"Pihak Imigresen juga mendapati terdapat pihak yang menggunakan tapak dan gudang persendirian untuk dijadikan lot kedai dan disewakan kepada warga asing bagi menjalankan perniagaan dengan kadar sewaan serendah RM500 hingga mencecah ribuan ringgit sebulan bagi setiap lot," katanya.