Masih ada belum guna tulisan jawi di rumah, premis perniagaan

Abd Rahim (depan, enam dari kanan) pada sesi town hall bersama Ahli Majlis PBT Negeri Pahang di Dewan Tun Razak Temerloh semalam. -Foto Facebook Kerajaan Negeri Pahang
Abd Rahim (depan, enam dari kanan) pada sesi town hall bersama Ahli Majlis PBT Negeri Pahang di Dewan Tun Razak Temerloh semalam. -Foto Facebook Kerajaan Negeri Pahang
A
A
A

TEMERLOH - Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pahang digesa terus memantau pelaksanaan tulisan jawi di papan tanda jalan, premis perniagaan dan kawasan perumahan bagi memartabatkan semula tulisan itu sebagaimana dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tahun lalu.

Exco Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Pahang, Abd Rahim Muda berkata, beliau mendapati masih ada premis perniagaan dan kawasan perumahan di negeri ini yang belum melaksanakannya.

Menurutnya, semua pihak termasuk Yang Dipertua PBT dan ahli majlis diminta supaya memandang serius perkara itu dengan memantau pelaksanaannya bagi merealisasikan penggunaan tulisan itu secara lebih menyeluruh di negeri itu secepat mungkin.

“Kesemua premis makanan termasuk restoran makanan segera juga sepatutnya menggunakan tulisan jawi di papan tanda utama premis sama saiz dengan tulisan sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi town hall bersama Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Pahang di Dewan Tun Razak di sini.

Pada majlis sama Abd Rahim berkata, semua PBT di Pahang perlu bersedia berdepan perkembangan kemajuan arus perdana agar bandar-bandar di negeri itu tidak ketinggalan terutama ketika negara kini sedang menuju ke arah bandar pintar.

Katanya, selari dengan itu Kerajaan Pahang menubuhkan aplikasi PahangGo sebagai penyelaras transformasi digital ekonomi di negeri ini untuk masa hadapan.

“Dengan wujudnya PahangGo, kesemua PBT harus mengambil peluang terhadap inisiatif yang kini terbentang luas untuk membangunkan kawasan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai permulaan, aplikasi itu diperkenalkan sebagai platform kutipan hasil kerajaan secara digital iaitu bagi kutipan cukai pintu, cukai tanah dan kompaun pembayaran," katanya.

Beliau berkata, dengan adanya platform pembayaran digital itu, akan memudahkan rakyat membuat pembayaran tanpa perlu datang berurusan ke kaunter PBT sekali gus membantu meningkatkan hasil kerajaan dan ia kemudiannya akan disalurkan ikembalikan kepada rakyat.

Pada seisi town hall itu juga pelbagai perkara dibincangkan termasuk berhubung peranan ahli majlis, hala tuju PBT, naik taraf PBT, kutipan dan tunggakan hasil dan kesejahteraan bandar.