Suspek kes cabul pelajar tahfiz tidak didakwa, ini kata Peguam Negara

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mendakwa suspek-suspek yang didakwa mencabul seorang pelajar sekolah Tahfiz berusia 10 tahun kerana tidak cukup bukti untuk membuktikan kes prima facie terhadap mereka, kata Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Beliau berkata, kepentingan awam dalam perkara itu memerlukan fakta-fakta sahih untuk dikemukakan.

"Siasatan polis dalam kes ini bermula dengan ibu kepada pelajar tersebut membuat laporan polis pada 14 Ogos 2016 mendakwa anaknya ketika itu berusia 10 tahun, (dikatakan telah diliwat oleh tiga pelajar senior, berusia antara 12 tahun hingga 18 tahun (suspek), di sekolah mereka di Manjoi, Perak.

"Polis melakukan siasatan dengan menemubual mangsa, suspek-suspek dan saksi seperti guru, kakitangan dan rakan sebilik mangsa dan rakan-rakan sekolah yang lain," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Thomas berkata, mangsa juga telah menjalani pemeriksaan perubatan di hospital awam dan kenyataan yang direkodkan oleh polis dan laporan perubatan itu menjadi sebahagian daripada kertas siasatan (IP) yang biasanya dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan.

Beliau berkata, kertas siasatan dipertimbangkan oleh Jabatan Peguam Negara dan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) yang ditugas mengendalikan kes itu berpendapat bahawa tiada kesalahan dilakukan.

"Oleh kerana tiada bukti lain ketika itu diperoleh untuk polis menjalankan siasatan lanjut, Timbalan Pendakwa Raya mengeluarkan arahan “Tiada Tindakan Lanjut” (NFA) pada September 2016.

"Perkara itu terhenti di situ. Kertas Siasatan dibuka semula pada Februari 2017 berikutan ketersediaan bukti baharu dan Kertas Siasatan dikembalikan semula kepada Jabatan Peguam Negara.

"Timbalan pendakwa raya dalam kes itu mengkaji setiap bukti yang tersedia oleh polis termasuk bukti baharu. Oleh kerana tidak cukup bukti untuk membuktikan kes prima facie terhadap suspek-suspek atau orang lain, Timbalan Pendakwa Raya membuat kesimpulan buat kali kedua pada Februari 2018 bahawa siasatan tidak perlu diteruskan, " katanya.

Thomas berkata, perkara itu terhenti di situ sehingga penglibatan seorang Majistret.

Beliau berkata, surat aduan bertarikh 3 Jun 2019 telah dihantar oleh ibu pelajar tersebut kepada Majistret yang mengadu bahawa tiada tindakan telah diambil terhadap pelaku walaupun dia telah membuat dua laporan polis pada 2016.

Thomas bagaimanapun berkata, salinan surat itu tidak dihantar ke Jabatan Peguam Negara.

"Majistret memutuskan untuk mengambil maklum mengenai aduan ibu mangsa. Pada 5 Ogos 2019, Majistret menyerahkan kepada Pejabat Pendakwa Negeri Perak notis menyatakan bahawa kes ini telah ditetapkan untuk disebut pada 9 Oktober 2019 di hadapan Majistret untuk ibu mangsa diperiksa berhubung dengan surat aduannya.

"Pemeriksaan akan dijalankan oleh Majistret dalam menjalankan kuasa Majistret di bawah Seksyen 133 Kanun Prosedur Jenayah (CPC)," katanya.

Beliau berkata, Pejabat Pendakwa Perak memberi respon kepada Majistret melalui surat bertarikh 27 Ogos 2019 dengan memberikan maklumat mengenai status sebenar siasatan dan menjelaskan bahawa NFA telah diarahkan.

"Pejabat Pendakwa Negeri Perak menjelaskan bahawa ibu mangsa tidak seharusnya memfailkan aduan di bawah Seksyen 133 CPC kerana polis telah membuka kertas siasatan berhubung laporan polis yang dibuat oleh ibu mangsa ibu pada 2016, perkara itu disiasat dan keputusan NFA telah dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya.

“Minggu lepas, media melaporkan bahawa Majistret menolak permohonan ibu mangsa di bawah Seksyen 133 CPC.

"Sebuah portal berita melaporkan pada 14 Oktober 2019 bahawa Majistret membuat keputusan selepas mahkamah menerima surat dari Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Perak yang memperincikan arahan bertulis oleh saya di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

"Laporan itu tidak benar. Tidak ada arahan tertulis yang dikeluarkan oleh saya dan sebenarnya lanagsung tidak disebut dalam surat Pejabat Pendakwa Negeri Perak kepada Majistret," katanya.

Thomas berkata, laporan yang sama juga menyatakan bahawa portal berkenaan sedang mendapatkan penjelasan daripada beliau tentang mengapa kes itu diarah untuk dibuang.

"Sekali lagi, ini tidak benar. Pejabat perhubungan raya Jabatan Peguam Negara ataupun saya sendiri tidak menerima sebarang pertanyaan untuk mendapatkan penjelasan dari mereka. Laporan yang tidak tepat itu pada 14 Oktober dikutip oleh banyak portal lain, " katanya.

Menurutnya, dalam undang-undang, Majistret tidak seharusnya mengambil maklum di bawah Seksyen 133.

Beliau berkata, aduan ibu mangsa bahawa tiada siasatan dijalankan berhubung laporan polis yang dibuatnya pada 2016 adalah tidak benar.

"Majistret hanya boleh menjalankan kuasa untuk memeriksa pengadu di bawah Seksyen 133 CPC, jika tiada siasatan dilakukan oleh pihak polis, yang jelas tidak berlaku," katanya.

Beliau berkata, keputusan Timbalan Pendakwa Raya berhubung kes itu adalah selaras dalam menjalankan kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

"Mengikut Perlembagaan terserah kepada Peguam Negara (sebagai Pendakwa Raya) untuk menjalankan kuasa mengikut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau tidak meneruskan apa-apa prosiding bagi apa-apa kesalahan. Beliau mempunyai kawalan dan arahan berhubung dengan semua pendakwaan jenayah di bawah undang-undang.

"Dalam kes ini, seperti ribuan kes lain, kuasa untuk tidak memulakan prosiding jenayah/NFA telah dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya bagi pihak Pendakwa Raya," katanya. - Bernama