Brexit dan Malaysia

A
A
A

KETIKA menulis rencana ini, saya sedang berada di London memerhatikan situasi Brexit (singkatan kepada British exit) iaitu perihal United Kingdom (UK) cuba untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU). Seharian saya berada di sekitar Westminster (kawasan Parlimen UK) memerhatikan gelagat rakyatnya.

Parlimen UK telah bersidang secara luar biasa pada hari Sabtu lalu (turut dipanggil sebagai ‘Super Saturday’) untuk mengundi mengenai Pindaan Letwin yang cuba menghalang tindakan Perdana Menteri UK, Boris Johnson meninggalkan EU, tanpa terlebih dahulu Parlimen meluluskan Rang Undang-undang Keluar EU. Akta Benn (akta mengenai UK keluar daripada EU) akan dilaksanakan jika Boris gagal mendapatkan sokongan Parlimen. Sememangnya Boris gagal mendapatkan sokongan Parlimen pada hari itu dan Pindaan Letwin diluluskan dengan 322 undi. Ini adalah kali pertama Parlimen UK bersidang pada hari Sabtu sejak 1982.

Banyak aspek yang perlu diteliti sebelum UK benar-benar boleh keluar daripada EU termasuk aspek perundangan dan polisi pentadbiran. Tersilap langkah, ia mungkin boleh mengundang pelbagai isu dan masalah kepada UK kelak.

Sejak UK memutuskan untuk keluar daripada EU, Malaysia telah bercita-cita untuk mengambil kesempatan daripada peluang yang mungkin wujud daripada Brexit itu.

Disebabkan Malaysia berpendapat bahawa polisi EU mengenai minyak kelapa sawit adalah tersasar dan menggugat pendapatan industri minyak kelapa sawit di Malaysia, kerajaan telah mengambil kesempatan untuk menawarkan eksport minyak kelapa sawit kepada UK.

Malaysia melihat banyak peluang yang mungkin boleh didapati daripada Brexit itu. Seandainya Brexit benar-benar berlaku, banyak negara bukan EU termasuk Malaysia akan mendapat manfaat. Tambahan, Malaysia juga adalah salah sebuah negara anggota Komanwel lantas dilihat memberikan sedikit kelebihan kepada tawaran kita kepada UK.

Berbalik kepada situasi ketika saya sedang berada di sekitar Westminster sewaktu Parlimen sedang bersidang, suasana memang begitu sibuk dan turut terdapat sedikit kekecohan. Pemprotes dan orang awam ramai berkumpul di sekitar Parlimen untuk menyokong ahli Parlimen masing-masing dan ada juga yang membantah. Pelancong juga turut mengambil kesempatan dengan hari bersejarah ini.

Ada yang membawa kain rentang menuntut agar Boris Johnson membubarkan Parlimen dan membuat pilihan raya umum semula. Suara orang awam dikumpul melalui tandatangan dengan niat ingin mendesak agar pilihan raya umum kembali diadakan memandangkan Boris Johnson tidak mendapat mandat sebagai Perdana Menteri melalui piliharan raya umum.

Artikel Berkaitan:

Isu Brexit bukan isu baharu. Ramai rakyat UK yang memang telah sedia ada menyokong Brexit, namun ramai antara mereka yang tidak gemar dengan apa yang sedang berlaku hari ini. Apa yang majoriti rakyat UK mahukan adalah satu perjanjian atau persetujuan Brexit yang boleh memberikan kebaikan kepada UK selepas ia keluar daripada EU.

Tak setuju

Sudah tentu, ada juga yang tidak bersetuju dengan Brexit. Contohnya, Scotland dan Wales tidak bersetuju untuk UK keluar daripada EU. Ramai rakyat Scotland dan Wales sedang berusaha memungut suara orang awam mendesak agar Brexit dipertimbangkan semula.

Saya turut berbual dengan beberapa rakyat Malaysia yang menetap di UK. Rata-rata mereka sebenarnya bersetuju agar UK keluar daripada EU. Ini akan memberikan lebih peluang kepada rakyat bukan EU, termasuk rakyat Malaysia mendapatkan pekerjaan di UK.

Sektor guaman juga mungkin akan turut berkembang dengan berlakunya Brexit. Dijangkakan akan lebih banyak syarikat yang akan meneroka pasaran Asia Tenggara dan Malaysia dilihat sebagai salah satu destinasi perdagangan dan pelaburan yang menarik. Dengan datangnya pelbagai syarikat UK ke Malaysia, firma guaman korporat di Malaysia akan banyak mendapat manfaatnya juga.

Begitu juga dengan beberapa aspek lain termasuk peluang pekerjaan yang akan turut bertambah.

Sama ada Brexit akan benar-benar berlaku atau tidak, bukanlah urusan kita untuk memastikannya. Namun, itu tidak bermaksud kita tidak perlu mengambil tahu dan memerhatikan apa yang sedang berlaku. Brexit mungkin boleh membawa pelbagai manfaat kepada negara kita seandainya ia benar-benar berlaku. Revolusi perdagangan mungkin akan turut berlaku, siapa tahu?

* Haeme Hashim ialah pengamal undang-undang di Kuala Lumpur dan pemerhati senario politik negara