X

Kindly register in order to view this article
!

Nilai jualan meningkat bukti produk buatan Malaysia berkualiti

Chieng Jen (tiga dari kanan) ketika melihat barangan yang dijual sempena Kempen Beli Barangan Malaysia 'Inilah Malaysia Punya' di Pasaraya MYDIN, USJ Subang Jaya. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A

SUBANG JAYA - Nilai jualan produk buatan Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak RM40 bilion setakat September lalu berbanding nilai yang direkodkan sepanjang 2018 membuktikan produk buatan Malaysia adalah berkualiti.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata, melihat pada angka tersebut, sudah tiba masanya rakyat Malaysia membuang persepsi negatif terhadap produk tempatan yang sering dilabel tidak setanding dengan barangan import.

Menurutnya, salah faham terhadap kualiti produk Malaysia perlu diperbetulkan dengan menyahut seruan Kempen Beli Barangan Malaysia.

"Dalam tempoh sembilan bulan tahun ini, nilai jualan barangan dan perkhidmatan produk Malaysia mencatatkan angka sebanyak RM890 bilion berbanding RM850 bilion pada tahun lalu.

"Angka yang besar ini membuktikan orang asing seperti di China dan Indonesia menganggap produk Malaysia adalah bermutu serta berkualiti.

"Kita eksport produk dengan banyak, sudah tentu eksport barang yang bagus. Jadi, salah faham ini perlu diatasi," katanya pada Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia 'Ini Malaysia Punya' di Pasaraya MYDIN di sini semalam.

Chieng Jen berkata, kerajaan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan dan sokongan untuk memberi rangsangan kepada industri tempatan, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

"Kerajaan juga menghargai usaha daripada MYDIN yang memberi ruang pemasaran untuk produk PKS.

"Kempen ini akan dilaksanakan secara berterusan dengan meningkatkan kesedaran kepada pengguna," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan MYDIN Mohamed Holdings Bhd, Datuk Wira Ameer Ali Mydin berkata, pihaknya menyambut usaha kerajaan dengan menggerakkan kempen tersebut agar dapat menyumbang kepada pertumbuhan industri usahawan tempatan, seterusnya meningkatkan ekonomi negara.

Menurutnya, sehingga kini sebanyak 1,500 jenis produk tempatan telah mendapat ruang pemasaran di Pasaraya MYDIN yang mampu bersaing dengan produk luar.

"Setiap hari ada produk tempatan yang mahu masuk, namun cabaran dalam memberi ruang pemasaran produk tempatan ini adalah dari segi ruang yang terhad.

"Kerana itu, MYDIN menyediakan tempat dan pihak pengeluar perlu bekerja keras memastikan produk mereka dapat dijual. Jika mereka tidak jaga produk mereka, kita terpaksa keluarkan dan beri ruang kepada produk baharu,"katanya.

Kempen Beli Barangan Malaysia 'Ini Malaysia Punya' MYDIN bermula 18 Oktober lalu sehingga Disember depan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus