Kes denggi Subang Jaya terus meningkat

No Image Caption
A
A
A

SUBANG JAYA - Kes denggi di kawasan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) terus menunjukkan peningkatan dengan mencatat 3,511 kes bagi epid 23.

Datuk Bandar Subang Jaya, Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, sehingga Jun lalu kes positif denggi meningkat sebanyak 1,489 kes berbanding 2,022 kes bagi tempoh sama, tahun lepas.

Menurutnya, MBSJ telah mempertingkatkan usaha pencegahan dengan meminta Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) mengadakan gotong-royong terutama di lokaliti bermasalah kes demam denggi.

"Setakat ini, sebanyak lima MPP telah melaksanakan gotong-royong bersama penduduk sepanjang Jun.

"MPP lain dijangka melaksanakan gotong-royong berkenaan dalam masa terdekat," katanya pada Mesyuarat Penuh Bulanan MBSJ pada Jumaat.

Pada Mei lalu, kes positif denggi Epid 20 (14 Mei hingga 20 Mei 2023) dilaporkan sebanyak 2,945 berbanding 1,653 kes dalam tempoh sama pada tahun lepas.

Angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 1,292 kes dengan 12 lokaliti hotspot denggi dikenal pasti di kawasan pentadbiran MBSJ membabitkan lapan daripadanya di kawasan kediaman bertingkat.

Beliau bagaimanapun berkata, peningkatan kes demam denggi bukan hanya membabitkan kawasan pentadbiran MBSJ tetapi berlaku di seluruh negara.

Justeru, katanya, masyarakat di kawasan pentadbiran MBSJ diminta untuk terus bekerjasama dalam memastikan kawasan dan persekitaran masing-masing bebas dari tempat pembiakan nyamuk aedes.

"Luangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit seminggu sekali mencari dan memusnahkan tempat-tempat pembiakan.

"Orang awam juga dinasihatkan membuat semburan aerosol di dalam premis dan menggunakan repellan apabila keluar terutama mereka yang tinggal di kawasan terdapat kes denggi," katanya.