Sempadan bolos: Polis Perlis serah kepada Bukit Aman

Klip video aktiviti penyeludupan yang ditayangkan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada sidang media minggu lalu.
A
A

KANGAR - Polis Perlis menyerahkan sepenuhnya kepada Bukit Aman untuk menjalankan siasatan berhubung kegiatan penyeludupan yang berlaku di Padang Besar.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, pihaknya tidak berkuasa penuh ke atas tembok sempadan negara yang dikawal selia Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

Begitu pun, kata Surina, kerosakan pagar sempadan serta kamera litar tertutup (CCTV) dan alat pengimbas yang tidak diselia dengan baik, perlu diambil perhatian serius.

"Terutama melibatkan kawasan rondaan dan penugasan pihak berkuasa ia perlu dibaik pulih dengan segera bagi memantapkan lagi kawalan di sempadan," katanya ketika program Bulan Sukan Negara di Ibu Pejabat Polis Perlis, hari ini.

Surina (depan kanan) merasmikan Bulan Sukan Negara di Ibu Pejabat Polis Perlis hari ini.
Surina (depan kanan) merasmikan Bulan Sukan Negara di Ibu Pejabat Polis Perlis hari ini.

Pada Jumaat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan terdapat ribuan klip rakaman video berkaitan aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan negara, akibat perbuatan rasuah sejak 2017.

Antara barang yang diseludup adalah minyak masak, bawang, diesel dan petrol serta barangan runcit yang murah di Malaysia, berbanding negara jiran.

SPRM turut menayangkan beberapa klip video yang menunjukkan bagaimana penyeludupan berlaku dan penguat kuasa yang bertugas hanya berdiam diri seolah-olah tiada perkara berlaku tanpa mengambil sebarang tindakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Amalan rasuah pihak berkuasa boloskan sempadan Malaysia-Thailand: SPRM