RM10.6 juta untuk tiga projek pembangunan Muar: Azmin

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
A
A
A

MUAR - Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM10.6 juta bagi membiayai tiga projek pembangunan di daerah Muar bagi memberi kemudahan yang lebih selesa dan memenuhi keperluan penduduk sekitar.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan itu bagi melaksanakan projek pembangunan Pasar Parit Jawa serta penambakan dan pemecah ombak di Pengkalan Seri Menanti Laut.

Menurutnya, satu lagi projek melibatkan pembangunan infrastruktur dan beberapa kemudahan antaranya stadium mini, astaka, padang bola sintetik serta padang serbaguna Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Parit Nawi dijangka siap Februari tahun depan.

"Ketiga-tiga projek tersebut adalah di bawah peruntukan projek kecil Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang dilaksanakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

"Projek pembangunan di Muar ini adalah sejajar dengan iltizam kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan ekonomi, menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat sekali gus memastikan kemudahan infrastruktur yang lebih baik dapat dikecapi oleh setiap golongan masyarakat," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke ketiga-tiga tapak projek pembangunan tersebut di sini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Anggota Parlimen Muar.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan sentiasa memastikan kemajuan dan pembangunan yang lebih saksama di seluruh negara sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad. - Bernama

Artikel Berkaitan: