DesaMall@KPLB meterai MoU dengan Lazada, Shopee

Rina (empat dari kiri) menyaksikan penyerahan dokumen MoU antara ELokal Sdn Bhd dan Lazada di tapak Karnival Usahawan Desa di Putrajaya hari ini.
A
A

PUTRAJAYA - Syarikat pentadbir program DesaMall@Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), ELokal Sdn Bhd hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan dua platform e-Dagang terkemuka di Asia Tenggara iaitu Lazada dan Shopee.

MoU ditandatangani pengasas dan juga Ketua Pegawai Eksekutif ELokal Sdn Bhd, Ahmad Shah Wahid; Ketua Pemasaran Shopee Malaysia, Shino Lee dan Timbalan Presiden Ketua Polisi Awam dan Hubungan Kerajaan Lazada Malaysia, Ahmad Shah Wahid.

Pemeteraian MoU yang bertujuan membantu usahawan luar bandar memasarkan produk melalui platform dalam talian atau online itu disaksikan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Menurut Rina, melalui platform e-Dagang seperti PrestoMall (dahulunya dikenali sebagai 11street), Lazada, Shopee dan e-Bay, produk-produk keluaran tempatan akan berpotensi dikembangkan lagi ke tahap yang lebih tinggi.

"Ini merupakan salah satu usaha di bawah kementerian (KPLB) untuk tingkatkan lagi pemasaran bagi usahawan luar bandar melalui e-Dagang bagi memberi lebih ruang dan peluang untuk mereka promosikan lagi produk.

"Inisiatif yang diambil ini juga merupakan salah satu langkah ke hadapan bagi membolehkan mereka bersaing dengan produk berjenama sedia ada.

"Ini kerana kita sedar produk keluaran tempatan juga mempunyai kualiti yang setanding namun aspek promosi dan pemasaran masih kurang diberikan perhatian dan atas sebab inilah kementerian mengambil pendekatan ini," katanya pada sidang media selepas menyaksikan MoU antara syarikat ELokal Sdn Bhd, Shopee Malaysia dan Lazada Malaysia bagi pelaksanaan program DesaMall@KPLB dan Pelancaran Kedai Rasmi DesaMall@KPLB di Platform Lazada, Shopee dan e-Bay di tapak Karnival Usahawan Desa (KUD) 2019 di sini hari ini.

Rina berkata, selari dengan hasrat kerajaan untuk membantu usahawan kecil di negara ini, setiap usahawan yang berdaftar untuk program itu akan menikmati pendaftaran dan penghantaran barangan secara percuma.

Menurutnya, usahawan yang ingin menempatkan produk mereka di platform itu perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) selain produk dihasilkan sendiri oleh mereka.

Ditanya mengenai jumlah usahawan yang disasarkan menyertai platform itu, beliau berkata, sekurang-kurangnya 5,000 usahawan dijangka mendaftar untuk memasarkan produk mereka secara online itu sehingga hujung tahun ini.

"Sekarang ini, seramai 1,200 usahawan berdaftar dan selepas ini kita harap lebih ramai yang akan mengambil langkah yang sama.

"Jadi saya harap usahawan tidak melepaskan peluang untuk mendaftar bagi memastikan produk mereka dapat dikembangkan ke tahap yang lebih baik sekaligus meningkatkan lagi pendapatan pada masa akan datang," katanya.