Guru rugi RM8,080 terpedaya helah tunggakan kad kredit

496936
496936
A
A
A

KUANTAN - Seorang guru dari Indera Mahkota di sini kerugian RM8,080 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan menggunakan helah tunggakan kad kredit, semalam.

Mangsa berusia 30 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai dari mahkamah Melaka kira-kira jam 10 pagi berhubung kes tuntutan tunggakan kad kredit atas namanya berjumlah RM18,000 di mahkamah itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa bagaimanapun menafikan perkara tersebut, namun terpedaya selepas suspek kononnya memindahkan panggilan kepada pegawai polis dari cawangan jenayah komersial untuk semakan lanjut berkaitan kes tersebut.

"Individu yang menyamar pegawai polis itu menerangkan secara lebih lanjut kes yang kononnya dihadapi mangsa sebelum panggilan disambung kepada pegawai kanan berpangkat asisten superintendan untuk urusan selanjutnya.

"Pegawai terbabit meminta mangsa menyerahkan maklumat perbankan internetnya termasuk kata laluan, nombor pin dan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) bagi tujuan siasatan," katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas maklumat itu diserahkan, mangsa membuat semakan akaun banknya pada hari sama dan mendapati wang dalam akaun itu kurang RM8,080.

"Semakan lanjut mendapati ada pihak lain memindahkan wang dalam akaunnya itu ke akaun lain atas nama seorang lelaki tidak dikenali," katanya.

Katanya, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: