Rantai emas berat 80 gram diragut, guru rugi RM30,000

Kehadiran lelaki bermotosikal disyaki suspek yang dirakam CCTV di premis berhampiran lokasi kejadian
Kehadiran lelaki bermotosikal disyaki suspek yang dirakam CCTV di premis berhampiran lokasi kejadian
A
A
A

TEMERLOH - Seorang guru kerugian RM30,000 selepas rantai emas yang dipakai lesap diragut lelaki bermotosikal dalam kejadian di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Mok Hee Kiang, Mentakab di sini pada Ahad.

Dalam kejadian jam 1.40 tengah hari itu, mangsa wanita berusia 49 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintenden Roslee Omar berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama seorang anaknya berjalan kaki menuju ke kereta yang diletakkan di tepi jalan selepas selesai membeli barang di pasar raya berkenaan.

Menurutnya, mangsa kemudian didatangi lelaki tidak dikenali menaiki motosikal jenis Yamaha Y16 dan bertindak meragut rantai emas dipakai.

"Menurut mangsa, rantai emas seberat 80 gram itu merupakan rantai perkahwinan yang dimiliki sejak 25 tahun lalu.

"Selepas meragut barang kemas mangsa, suspek yang berpakaian jaket hitam dan bertopi keledar kelabu segera melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis berdekatan mendapati motosikal yang digunakan jenis Yamaha Y16 warna perak namun nombor pendaftaran tidak dapat dilihat dengan jelas.

"Pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengesan suspek dan kes disiasat di bawah seksyen 392 Kanun Keseksaan," jelasnya.