Adab Falsafah Konfusianisme

A
A
A

KONFUSIUS (551-479 SM) dilahirkan di negeri Lu, wilayah Shandong, China. Bapanya mati sejak beliau berusia tiga tahun. Ibu Konfusius membesarkannya dengan cara pendidikan yang tegas dan meninggal dunia ketika Konfusius berusia sekitar 16 atau 17 tahun.

Konfusius pernah bekerja sebagai pegawai kecil yang menjaga stor, penjaga ternakan dan lain-lain lagi bagi menyara hidup. Pada malam hari, beliau gigih belajar untuk memahami kitab-kitab klasik.

Konfusius merupakan seorang ahli falsafah Cina yang terkenal. Pemikirannya menekankan konsep perikemanusiaan (ren) dan konsep tatasusila (li) yang mempunyai pengaruh besar dalam kehidupan masyarakat Cina sehingga hari ini.

Beliau amat berpegang teguh pada adat dan tatasusila kerana baginya adat itu amat penting untuk membolehkan seseorang itu berdiri teguh.

Menurut Tu We Ming (1996), seorang pakar penyelidik Konfusianisme, Falsafah Konfusianisme mengutamakan nilai-nilai etika sebagai pedoman hidup bagi membentuk akhlak yang sempurna dalam diri individu.

Jin Yaoji (1993) pula mengatakan budaya Konfusianisme memberi penekanan pada sifat semula jadi manusia, etika manusia, personaliti manusia, budaya manusia dan sebagainya.

Jika dibandingkan dengan falsafah lain seperti Taoisme dan Buddhisme, pemikiran Konfusianisme tidak membincangkan hal-hal berkaitan ketuhanan, roh atau hantu sebaliknya fokus pada realiti kehidupan manusia dalam dunia ini, bukannya dunia lain.

Apa yang dimaksudkan dengan etika, nilai, moral, akhlak dan adab? Etika asal daripada perkataan ethics (Inggeris), ethice (Latin) dan ethicos (Greek). Dari segi definisi menurut tradisi Barat, etika ialah falsafah moral yang membicarakan apakah yang baik/benar dan apakah yang buruk/salah. Akhlak pula berasal daripada bahasa Arab iaitu perkataan akhlaq, kata majmuk bagi khulq bermaksud suatu keadaan atau sifat dalaman.

Artikel Berkaitan:

Adab juga berasal daripada kalimah Arab yang merujuk kepada kesenian, kehalusan dan kesantunan. Kata berlawanan bagi adab ialah biadab. Adab sering dikaitkan dengan kehidupan, interaksi kita dengan manusia lain dan juga adat. Konfusius juga amat menekankan adat dan tatasusila.

Nilai tatasusila diberi kepentingan tinggi kerana mempunyai fungsi kawalan terhadap tingkah laku manusia seperti yang dianjurkan oleh Konfusius.

Ia bererti mereka yang menghayati adat dan tatasusila akan sentiasa berwaspada terhadap perkara-perkara yang dilakukan dengan mengawasi sama ada kelakuan mereka memenuhi kehendak adat dan tatasusila atau tidak.

Merujuk kepada tindakan seorang graduan yang menunjukkan tanda protes sejurus selepas menerima skrol ijazah sarjana muda di atas pentas semasa konvokesyen Universiti Malaya (UM) baru-baru ini, ia jelas satu perbuatan yang tidak menghormati istiadat dan mengganggu protokol majlis.

Kelakuan tersebut adalah biadab kerana tidak menghormati majlis yang turut dihadiri oleh tetamu kenamaan, ahli-ahli senat, para pensyarah, para graduan serta ibu bapa. Kita ada platform untuk menzahirkan pandangan sesuatu perkara dan majlis konvokesyen yang penuh adat istiadat tidak sesuai untuk berbuat demikian, apatah lagi dengan cara yang tidak beradab.

Cuba bayangkan ada pihak membuat protes ketika majlis perkahwinan kita? Bagaimana perasaan kita?

Tujuan nilai tatasusila adalah untuk mencapai keharmonian, ketenteraman dan perpaduan. Kata-kata Konfusius seperti manfaat tatasusila, keharmonian paling dihargai adalah antara tulisan kaligrafi Cina yang sering digantung di dinding rumah masyarakat Cina.

Saya berharap graduan berkenaan boleh mencerna kata-kata hikmah Konfusius agar beliau menjadi rakyat Malaysia yang beradab demi mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni.

Tiada gunanya memiliki sekeping ijazah jika hidup tidak beradab.

*Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan