Ciri pemimpin mengikut sunnah

A
A
A

PELBAGAI isu muncul yang berakar umbi daripada kepimpinan negara. Ia bukan sahaja muncul selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan pertukaran kerajaan tetapi juga sebelum pilihan raya umum di mana rakyat banyak mempersoal integriti pemimpin negara, sifat dan jati diri mereka.

Tatkala kita menghadapi pelbagai isu kepimpinan negara sama ada dari sudut kepimpinan, upaya mentadbir negara, salah tadbir dan rasuah, negara seolah-olah tidak dapat mencungkil pemimpin yang bebas daripada pelbagai tohmahan dan mampu menerajui negara.

Pemimpin politik pula sering bertelingkah dalam pelbagai isu dan berkonfrontasi dalam merumuskan sesuatu perkara.

Pepatah Melayu rambut sama hitam tetapi hati lain-lain menunjukkan kematangan budaya kita menerima perbezaan pendapat terutama pendapat politik.

Masyarakat kita akur dengan sifat manusia yang tidak mungkin sehaluan pendapat dalam setiap perkara.

Ruang disediakan oleh undang-undang bagi golongan tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran negara untuk meluahkan ketidakpuasan hati dalam cara aman dan munasabah antaranya melalui pilihan raya.

Perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin ataupun rakyat jelata adalah norma lazim dalam sesebuah negara. Ia tidak hanya berlaku di Malaysia. Namun perkara yang lebih penting ialah bagaimana menguruskan perbezaan pandangan tersebut.Contoh pemimpin terbaik ialah Rasulullah SAW dan antara sifat ditonjolkan sebagai amanah kepada seluruh umat Islam adalah kemaafan serta menolak kejahilan seperti keangkuhan.

Semasa pembukaan kota Makkah oleh tentera Islam diketuai oleh Rasulullah pada tahun 8 Hijrah, Baginda memerintahkan sahabat-sahabatnya memanggil kesemua penduduk Quraisy Makkah untuk bertemu dengannya di hadapan Kaabah dengan janji mereka tidak akan diapa-apakan.

Artikel Berkaitan:

Rasulullah bertanya kepada kaum Quraisy Makkah, pada fikiran mereka apakah yang akan dilakukan oleh Baginda terhadap mereka. Lalu Quraisy Makkah menjawab: “Saudara mulia, anak kepada saudara kami yang mulia.”

Rasulullah mengisytiharkan bahawa baginda memaafkan mereka dan membebaskan mereka dengan menyatakan: “Wahai Quraisy, kamu semua daripada Adam AS dan Adam berasal daripada tanah. Maka, buangkanlah sifat angkuh dan sombong kamu.” Hikmah Rasulullah memaafkan Quraisy memberi iktibar kepada kaum berkenaan pada masa itu dan kepada kita bahawa Rasulullah bukannya bermusuh dengan Quraisy tetapi dengan sikap angkuh dan sombong mereka.

Walaupun Quraisy pada asalnya ialah musuh utama Rasulullah dan umat Islam, tetapi sikap Rasullulah memaafkan mereka cukup menyentuh jiwa mereka. Hal demikianlah sebenarnya ingin disampaikan oleh Rasulullah kepada sekalian umat Islam.Quraisy akhirnya memahami hikmah Rasulullah memaafkan mereka dan ia mendorong kebanyakan daripada mereka memeluk agama Islam dan seterusnya menyertai ekspedisi peperangan Riddah (peperangan terhadap golongan murtad) serta ekspedisi peperangan terhadap kerajaan Parsi dan Roman dalam usaha kerajaan Khalifah Islam menyahut seruan dakwah agama ke seluruh alam.

Keangkuhan

Rasulullah berjaya memerangi sikap keangkuhan dan kesombongan serta kepercayaan jahiliah Quraisy yang menggambarkan kepada masyarakat Islam kepentingan mendidik jiwa dan rohani umat Islam dibandingkan dengan menghukum.

Demikianlah jika kita berpegang kepada sunnah Rasulullah, tentulah mereka tidak akan mengambil tindakan ekstrem dengan membalas dendam kerana mempunyai perbezaan pendapat politik.

Perselisihan politik pula bukanlah perkara bersangkut paut dengan akidah tetapi ia lebih kepada sistem pentadbiran negara dan fahaman mengenai pelaksanaan pentadbiran negara.

Di Malaysia, pemimpin politik sama ada yang menang dalam pilihan raya ataupun yang kalah perlu merapatkan jurang dan bekerjasama untuk memajukan negara. Bukannya berpolitik setiap masa sehingga buah fikiran yang bernas tidak dapat difikirkan bagi memajukan negara.

Dalam sistem demokrasi di Malaysia, masing-masing yang menang dan kalah ada peranan sendiri.

Bukanlah saya mengatakan mereka yang melakukan kesalahan diberikan pengampunan, undang-undang negara mesti terus dilaksanakan. Mereka yang didakwa perlu diberikan hak untuk membela diri sepenuhnya tetapi dalam isu yang tidak melibatkan kesalahan semua orang mestilah berlapang dada menerima perbezaan.

Janganlah semata-mata seseorang itu daripada golongan tertentu suara mereka dipendam tidak mahu didengari lagi. Mungkin ada idea dan pengalaman mereka yang boleh dimanfaatkan bersama.

Jika mahu berpolitik juga tunggulah pada pilihan raya akan datang.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)