Hamad Kama Piah dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah UMK

Hamad Kama Piah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Keusahawanan) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini.
A
A

BACHOK - Tokoh korporat, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Keusahawanan) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada Istiadat Konvokesyen UMK ke-9 di Dewan Tuanku Canselor UMK Bachok di sini hari ini.

Ijazah Kehormat Doktor Falsafah berkenaan dikurniakan oleh Canselor UMK, Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra.

Hamad Kama Piah berkata, penganugerahan itu disifatkan sebagai kurniaan hebat dari UMK atas kebersamaan beliau selama 11 tahun sebagai pengerusi universiti itu sebelum ini.

“UMK mempunyai impak yang baik dalam keusahawanan. Saya teruja apabila mengetahui saya dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Keusahawanan.

“Sebagai manusia biasa saya merasakan peranan selama ini tidak sebesar mana namun penganugerahan ini membuktikan universiti ini menghargai usaha yang dilakukan selama ini,” katanya di sini hari ini.

Istiadat Konvokesyen UMK ke-9 berlangsung tiga hari membabitkan penganugerahan kepada 17 graduan Ijazah Doktor Falsafah, 38 graduan Ijazah Sarjana, 27 graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan 1,980 graduan menerima sijil Ijazah Sarjana Muda, bermula semalam.

Hadir sama isteri Tengku Mahkota Kelantan, Cik Puan Sofie Louise Johansson, Pro-Canselor UMK Kelantan, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Naib Canselor UMK, Prof Dr Noor Azizi Ismail.

Dalam pada itu, menurut Hamad Kama Piah, UMK boleh memainkan peranan yang begitu hebat kerana menjadi satu-satu universiti yang memberi fokus keusahawanan dalam era dunia industri pada masa depan.

“Jadi perkara yang dipelajari di UMK sudah pasti akan dapat memberi impak atau keberkesanan kepada dunia keusahawanan.

“Saya berpendapat UMK mempunyai peranan lebih besar pada masa depan yang akan membentuk minda dan berkembang serta mampu mengatasi cabaran dalam apa-apa jua yang dilakukan sama ada kepada mereka yang menjadi usahawan atau pegawai biasa,” katanya.

Tambahnya, UMK satu-satu institusi yang diberikan 'surat beranak' keusahawanan dan menjana banyak peluang dan akan menjelmakan individu yang hebat.

“Tidak perlu berlawan dengan dengan universiti awam atau swasta yang baru atau lama kerana penuntut UMK sendiri akan memberi daya saing kepada orang lain.

“Kehebatan datang dari orang muda yang mempunyai idea-idea dan tenaga baharu yang lebih berkesan dalam mengendalikan teknologi masa kini manakala UMK pula akan menjadi lebih hebat kerana ditonjol dalam industri terkini dan lebih menyeluruh,” katanya.

Hamad Kama Piah memiliki Sarjana Falsafah dari Universiti Swansea, United Kingdom. Sebelum ini beliau menerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Pengurusan Perniagaan Universiti Tenaga Nasional Malaysia seterusnya dalam bidang Ekonomi dan Pengurusan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia dan dalam bidang Kewangan dan Pelaburan daripada Universiti Management and Science Malaysia.

Sepanjang kerjaya korporatnya, beliau pernah berkhidmat dengan beberapa kumpulan korporat gergasi Malaysia dan kini mempengerusikan Lembaga UMW Holdings Berhad dan Ahli Lembaga Pengarah PFM Capital Holdings Sdn Bhd.