Teduhan Kasih bantu pulih ketagihan

Jaafar (dua, kiri) dan Ramli memotong kek ulang tahun penubuhan Teduhan Kasih Selangor yang dihadiri 150 alumni Pengasih Selangor
Jaafar (dua, kiri) dan Ramli memotong kek ulang tahun penubuhan Teduhan Kasih Selangor yang dihadiri 150 alumni Pengasih Selangor
A
A
A
BUKIT BERUNTUNG - Teduhan Kasih Selangor berjaya membantu 489 bekas penagih dadah dalam usaha membebaskan diri dari ketagihan.

Pengarahnya, Jaafar Daud berkata, daripada jumlah itu, seramai 189 pengguna kekal pulih dan kini menjalani kehidupan normal dalam masyarakat.

Menurutnya, 30 pengguna masih menghuni di enam rumah Aftercara di negeri ini yang menyediakan penempatan pekerjaan kepada golongan tersebut.

"Sementara itu 20 pengguna telah meninggal dunia dan Teduhan Kasih Selangor merupakan NGO yang menjalankan perkhidmatan rawatan dan pemulihan dadah dalam Komuniti.

"Sepanjang tempoh 10 tahun penubuhan, ini pencapaian menepati sasaran ke arah usaha membantu mereka untuk pulih dan bebas dari ketagihan.

"Perkhidmatan diberikan mendapat sambutan baik daripada golongan tersebut yang ingin berubah," katanya pada majlis kesyukuran ulang tahun ke-10 di Rumah Teduhan Kasih Bukit Beruntung.

Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Pengasih, Ramli Abdul Samad.

Jaafar berkata, Teduhan Kasih mengambil pendekatan melalui penekanan penstrukturan semula pemikiran pengurusan dan penstabilan emosi, perubahan tingkah laku serta penyuburan kerohanian.

Menurutnya, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) turut menyalurkan bantuan kewangan di bawah asnaf Ar-riqab selain sumbangan dari pelbagai agensi.
Artikel Berkaitan:


"Antaranya Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Tekun, Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kakitangan Khazanah Nasional, Rotary Club Kuala Lumpur, Jabatan Pertanian Negeri Selangor, Astri dan individu perseorangan.

"Usaha sebegini memerlukan sokongan semua pihak bagi membantu mereka yang mahu berubah diri dari kesilapan lampau," katanya.