Budak terperangkap atas bumbung selepas selamatkan kucing

Anggota bomba merapatkan jentera bagi membantu menurunkan mangsa yang terperangkap di atas bumbung bangunan Pasar Besar Kuantan di sini tengah malam tadi.
A
A

KUANTAN - Seorang kanak-kanak lelaki Rohingnya yang terperangkap di atas bumbung bangunan Pasar Besar Kuantan di sini tengah malam tadi berjaya berjaya diselamatkan pihak bomba.

Mangsa berusia 12 tahun itu dipercayai memanjat bangunan tersebut melalui jejantas untuk menyelamatkan seekor anak kucing yang terperangkap dan dia gagal untuk turun semula.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 12.06 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan bersama sebuah jentera ke lokasi untuk operasi menyelamat.

Menurutnya, operasi menurunkan mangsa dijalankan dengan merapatkan jentera bomba ke bangunan dan anggota berjaya membawa turun mangsa dengan selamat.

"Kanak-kanak itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.