Zakir Naik saman Ramasamy

Ramasamy dan Zakir
Ramasamy dan Zakir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik memfailkan saman fitnah kepada Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy.

Zakir memfailkan writ saman tersebut melalui firma guaman, Messrs Akberdin&Co di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin.

Peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader mengesahkan bahawa salinan pernyataan tuntutan telah diberikan kepada Ramasamy pagi tadi.

Menurutnya, beberapa saman juga kemungkinan akan difailkan pada minggu depan dan antara nama disebut beliau ialah Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran.

“Pagi tadi, salinan pernyataan tuntutan telah diserahkan kepada Ramasamy. Mungkin minggu depan akan ada beberapa tuntutan saman akan diserahkan kepada beberapa individu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Berdasarkan tuntutan tersebut, Zakir menyaman Ramasamy atas empat pernyataan yang dikatakan mengandungi fitnah yang dibuat pada 10 April 2016, 1 Oktober 2017, 11 Ogos dan 20 Ogos 2019.

Dalam pernyataan pertama, Ramasamy dikatakan memfitnah Zakir melalui satu hantaran Facebook pada 10 April 2016.

Tuduhan kedua pula adalah terhadap artikel pada 1 Oktober 2017 berjudul 'Is Malaysia harbouring alleged fugitive Zakir Naik?' yang disiarkan dalam portal berita tempatan.

Artikel Berkaitan:

Tuduhan ketiga pula adalah terhadap kenyataan pada 11 Ogos 2019 melalui satu artikel berjudul 'Naik should not question loyalty of Hindus in Malaysia' yang disiarkan portal sama.

Ramasamy turut dikatakan memfitnah Zakir melalui satu rakaman temu bualnya bersama media India, India Today pada 20 September tahun ini yang disiarkan di YouTube.

Zakir mendakwa, kenyataan Ramasamy didorong oleh niat jahat, kebencian, iri hati, hasad dan dibuat tanpa terlebih dahulu mendapatkan pengesahan daripada plaintif.

Menurut plaintif, dengan menyiarkan pernyataan tersebut, defendan secara nyata merujuk plaintif sebagai orang yang berperwatakan jahat dan menjadi ancaman kepada keamanan, kedamaian, dan keharmonian negara.

Plaintif mendakwa bahawa kenyataan-kenyataan berkenaan adalah tidak berasas, tidak benar, fabrikasi, palsu, keseluruhannya direka-reka, diubah dan cenderung untuk mencapai agenda defendan.

Zakir juga mendakwa kenyataan itu bertujuan membangkitkan kebencian orang awam terhadap plaintif dan dibuat bagi mendapatkan publisiti murahan, sanjungan buat defendan serta mendedahkan Zakir kepada bahaya secara fizikal, mental, emosi dan psikologi.

“Dengan menerbitkan pernyataan fitnah tersebut, defendan juga telah menghasut, menyerang dan menimbulkan sensitiviti kaum, agama dan etnik dalam kalangan rakyat Malaysia pada umumnya.

“Defendan telah secara salah memetik kata-kata plaintif di luar konteks, sedangkan plaintif sebenarnya memuji Malaysia kerana tulus dan bijaksana dalam melayani dan menegakkan hak kaum minoriti (termasuk, tetapi tidak hanya terhad kepada penganut Hindu), selaras dengan prinsip Islam, sesuatu yang gagal dilakukan oleh kerajaan India terhadap kaum minoritinya.

“Defendan telah secara sengaja mengambil kata-kata plaintif di luar konteks dengan harapan untuk memberi kemudaratan kepada plaintif, inter alia (antara lain) bagi tujuan politiknya,” kata tuntutan yang bertarikh 16 Oktober itu.

Dalam tuntutan sama, Zakir turut meminta permohonan maaf Ramasamy disiarkan di laman Facebook defendan selain media termasuklah akhbar Berita Harian, Sinar Harian, The Star, Free Malaysia Today (FMT), Sin Chew Daily, Tamil Nesan dalam masa tujuh hari daripada tarikh perintah tersebut.

Plaintif turut memohon ganti rugi am, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan termasuklah faedah atas jumlah penghakiman sebanyak lima peratus setahun.

Ia dikira dari tarikh pemfailan writ sehinggalah penyelesaian penuh, kos dan sebaran relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.