'Ramai kecewa perkhidmatan siaran TV digital teruk'

Keluhan orang ramai berhubung masalah siaran televisyen selepas peralihan analog ke digital dilaksanakan Isnin lalu
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan siaran televisyen digital (DTT) yang dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara bermula Isnin lalu bagi menggantikan Siaran Analog (ASO) dilihat tidak mencapai objektif apabila ia menimbulkan pelbagai masalah kepada orang ramai.

Rata-rata pengguna dilihat menyuarakan rasa tidak puas hati serta kecewa menerusi Facebook myFreeview kerana masalah siaran yang sangat teruk.

Tinjauan Sinar Harian di Facebook myFreeview mendapati sebanyak 1,600 komen dilontarkan netizen hampir setiap hari sejak 2 Oktober lalu sehingga yang terbaharu kira-kira 20 jam lalu.

Seorang pemilik akaun Facebook, Coby Moh dalam komennya kesal dan menyifatkan bahawa sistem tersebut sebagai gagal berikutan hanya saluran RTM sahaja yang boleh dilihat, manakala kebanyakan masa, siarannya tidak bergerak lancar dan lambat.

"YB (Yang Berhormat), tolong datang dan lihat kepada sistem TV yang baharu ini," tulisnya.

Hantaran Coby itu kemudiannya mendapat komen daripada beberapa netizen lain yang turut bersetuju dan menyatakan turut mengalami masalah sama.

Muhamad Fadzly AG menulis: "Coby Moh, ya sama juga apa yang berlaku kepada saya. Keseluruhannya sia-sia kecuali saluran RTM sahaja."

Sementara Linda Saini berkata, "Pasang MYTV tapi satu saluran pun tidak ada."

"Rumah saya sudah pasang MYTV tapi gambar tidak ada, alasan TV jenis lama. Baru beli sangat pun TV tu, cari siaran tak jumpa. Mohon beri penerangan pasai apa punca tak dapat siaran," tulis Hana Balqis

Tidak kurang juga, ada netizen yang meminta pendapat kerana sudah mencuba pelbagai kaedah selepas peralihan DTT tetapi masih gagal mendapat siaran.

Dalam pada itu, keluhan disuarakan orang ramai berhubung masalah yang timbul itu mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Media, Gobind Singh Deo.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Gobind memandang serius perkara itu dan menyarankan orang ramai untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung masalah yang timbul.

Menurutnya, SKMM juga dalam proses membantu menyelesaikan semua masalah berbangkit dan sekiranya terdapat masalah dekoder atau berkaita,n ia boleh disalurkan terus kepada suruhanjaya berkenaan.

"Kita mahu memastikan proses peralihan ini lancar dan kemudian boleh beralih ke fasa kedua iaitu membawa lebih kandungan melalui saluran yang disediakan untuk rakyat Malaysia," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Lapor SKMM jika hadapi masalah siaran televisyen digital: Gobind