Lapor SKMM jika hadapi masalah siaran televisyen digital: Gobind

Karyawan Sinar Harian berkesempatan merakamkan gambar bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang berkunjung ke Kumpulan Media Karangkraf. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Karyawan Sinar Harian berkesempatan merakamkan gambar bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang berkunjung ke Kumpulan Media Karangkraf. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Orang awam disarankan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) jika ada masalah dengan perkhidmatan siaran televisyen secara digital yang mula dilaksanakan pada 14 Oktober lepas.

Menteri Komunikasi dan Media, Gobind Singh Deo mengakui terdapat beberapa masalah selepas peralihan tersebut.

Beliau bagaimanapun berkata, SKMM kini dalam proses membantu menyelesaikan semua masalah berbangkit.

“Sekiranya ada masalah dekoder atau berkaitan boleh disalurkan terus kepada SKMM kita melihat perkara ini secara serius.

“Kita mahu memastikan proses peralihan ini lancar dan kemudian boleh beralih ke fasa kedua iaitu membawa lebih kandungan melalui saluran yang disediakan untuk rakyat Malaysia,” katanya ketika melakukan lawatan kerja di Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Puchong itu berkata, peralihan siaran televisyen analog ke digital di Malaysia berjalan dengan lancar.

“Dari sudut pelaksanaan kita memang ada syarikat yang terbabit iaitu syarikat myFreeview dan mereka bekerjasama dengan SKMM.

“Jadi SKMM membuat pemantauan di seluruh negara. Kita lihat peralihan ini berjalan lancar dan melebihi sasaran ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Berakhirnya era TV analog di Semenanjung Malaysia

Tinjauan di laman sosial mendapati ramai mengadu tidak dapat menonton banyak saluran selepas beralih ke siaran digital malah ada yang mendakwa dekoder mereka tidak dapat berfungsi dengan baik.

Berkuat kuasa tengah malam Isnin lalu, siaran analog bagi wilayah utara dan timur meliputi Perlis, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan dan Terengganu ditamatkan dan diganti dengan siaran digital.

Sabah dan Sarawak akan menjadi negeri terakhir untuk beralih kepada siaran digital sepenuhnya pada 31 Oktober ini.