Wang LDP RM9,560.96 kini hak Kerajaan Malaysia

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Wang sebanyak RM9,560.96 daripada RM509,560.96 yang disita daripada Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP), yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini menjadi hak Kerajaan Malaysia.

Peguam, Datuk Jagjit Singh Bant Singh yang mewakili LDP Sabah berkata, ini berikutan representasi yang dikemukakan pihaknya telah diterima oleh pendakwaan.

"Pihak LDP Sabah selaku responden dan pendakwaan selaku pemohon telah bersetuju wang RM9,560.96 dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia manakala baki daripada wang itu berjumlah RM500,000 dikembalikan kepada LDP bersama dengan faedah," katanya kepada pemberita selepas prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nik Haslinie Hashim memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah menerima representasi daripada pihak responden seperti mana yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

"Saya memohon supaya perintah persetujuan direkodkan sebagai mana terma-terma yang telah dipersetujui," katanya.

Bagaimanapun, terma-terma persetujuan tidak didedahkan di mahkamah terbuka.

Hakim Sequerah kemudiannya merekodkan penghakiman persetujuan berkenaan.

Menurut draf penghakiman persetujuan, pihak pendakwaan bersetuju wang sebanyak RM9,560.96 yang disimpan di dalam akaun semasa di sebuah bank dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia dan pemohon akan membatalkan Perintah Penyitaan Harta Alih bertarikh 29 Jun 2018 terhadap akaun tersebut selepas wang tersebut diterima oleh Kerajaan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Presiden LDP, Chin Su Phin ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, beliau berpuas hati apabila wang RM500,000 telah dikembalikan kepada parti itu.

"Saya berasa gembira kerana Jabatan Peguam Negara menerima representasi daripada pihak kami. Wang RM500,000 itu tidak mempunyai kaitan dengan 1MDB," katanya. - Bernama