Pulau Pinang tetap sendiri had harga rumah pembeli asing

Jagdeep Singh Deo
Jagdeep Singh Deo
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang dijangka menetapkan had harga rumah tersendiri bagi pembeli dari kalangan warga asing membeli hartanah dalam negeri.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, beliau akan membangkitkan perkara itu untuk dibincangkan semasa mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) sebelum memutuskan pendirian kerajaan negeri.

"Kita perlu melihat secara keseluruhan, kerana had yang ditetapkan peringkat nasional adalah bagi menangani isu bekalan hartanah berlebihan, yang khusus merujuk kepada bangunan dengan status hakmilik strata.

“Kita akan bincangkan kemudian nanti kerana kita mahukan satu pengumuman yang rasmi supaya para pemaju memahami pendirian kita,” katanya hari ini.

Semasa membentangkan Belanjawan 2020 pada Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengumumkan kerajaan akan menurunkan had harga hartanah bangunan tinggi di kawasan bandar untuk pemilikan asing daripada RM1 juta kepada RM600,000 tahun, bagi mengurangkan bekalan kondominium dan pangsapuri tidak terjual yang jumlah keseluruhan menjangkau RM8.3 bilion pada suku kedua 2019.

Bagaimanapun Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata, Pulau Pinang tidak pernah menuruti amalan sama diamalkan oleh kerajaan Persekutuan berkaitan had pembelian oleh warga asing itu.

Katanya, langkah itu bukan sesuatu yang baharu kerana kerajaan negeri sebelum ini juga tidak pernah mematuhi had pembelian RM1juta yang ditetapkan kerajaan Persekutuan.

"Malah Menteri perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin sendiri mencadangkan supaya setiap negeri menetapkan had masing-masing bagi hartanah yang hendak dibeli warga asing,” katanya,-Bernama

Artikel Berkaitan: