Lelaki didakwa halang penjawat awam tangkap anjing

Tat Meng (dua dari kiri) ketika keluar dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
Tat Meng (dua dari kiri) ketika keluar dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pemilik kedai cetak didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas dakwaan menghalang tugas penjawat awam dua minggu lalu.

Tertuduh, Koh Tat Meng mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zubaidah Mahat di hadapan Majistret M Barath.

Mengikut pertuduhan, peniaga berusia 47 tahun itu cuba menghalang tugas kakitangan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menangkap anjing liar.

Perbuatan itu dilakukan di kawasan luar kondominium Vista Millenium, Taman Puchong Perdana pada jam 11.22 pagi, 3 Oktober lalu.

Tertuduh yang diwakili peguam, N Rajesh memohon jaminan lebih rendah kerana anak guamnya perlu menyara isteri, tiga anak dan ibu bapa.

Tertuduh dibebaskan oleh mahkamah dengan ikat jamin sebanyak RM2,000 dan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 26 November ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu tangkap anjing, MPSJ pula mohon maaf

Terdahulu, satu rakaman video menunjukkan proses penangkapan anjing tular di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Menerusi rakaman berdurasi 4 minit 13 saat itu, petugas MPSJ dilihat menangkap seekor anjing dan mereka dihalang oleh beberapa individu.

Selepas mendapat kecaman netizen, MPSJ memohon maaf di atas sikap kurang profesional petugasnya.

Bagaimanapun MPSJ mendakwa, ia dilaksanakan mengikut peruntukan UUK 17, Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (MPSJ 2007).

Ia turut mendapat reaksi Kerajaan Selangor melalui Exconya, Ng Sze Han yang kemudiannya memohon maaf terhadap insiden berkenaan.