X

Kindly register in order to view this article
!

Isu tangkap anjing, MPSJ pula mohon maaf

Terdahulu, Kerajaan Selangor menerusi Exconya, Ng Sze Han memohon maaf terhadap insiden penangkapan anjing yang tular itu.
A
A

SUBANG JAYA - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) memohon maaf berhubung sikap kurang profesional petugasnya ketika melaksanakan tangkapan anjing liar.

Video berkenaan tular di media sosial sejak semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid memaklumkan insiden itu berlaku ketika operasi anjing terbiar di kawasan luar Apartment Desa Millenium, Taman Puchong Perdana, pagi semalam.

Beliau berkata, penguat kuasa menjalankan operasi berikutan menerima banyak aduan anjing terbiar di kawasan tersebut selain terdapat isu kes pelajar digigit anjing di kawasan berdekatan.

Menurutnya, operasi tangkapan anjing tersebut dilaksanakan mengikut peruntukan UUK 17, Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (MPSJ 2007).

Kaedah penangkapan turut menggunakan tatacara operasi piawaian (SOP) Penangkapan dan Pelupusan Anjing Terbiar di Pihak Berkuasa Tempatan (Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bilangan 5 Tahun 2014.)

“MPSJ menerima sebanyak 65 aduan anjing terbiar di kawasan Taman Puchong Perdana, Taman Puchong Prima dan Taman Puchong Permai.

“Ketika insiden itu berlaku, Pasukan Tangkapan Anjing Liar Jabatan Kesihatan MPSJ sedang melaksanakan kerja penangkapan seekor anjing yang bersembunyi di bawah sebuah kenderaan.

“Ketika operasi tersebut, mereka didatangi seorang lelaki dan wanita yang menghalang tindakan menangkap anjing tersebut dan turut melakukan provokasi terhadap kakitangan bertugas,” katanya.

Azfarizal berkata, petugas terlibat cuba menyempurnakan tugasan mereka sebaik mungkin di samping cuba menangani provokasi yang ditimbulkan oleh kedua-dua individu tersebut.

Bagaimanapun katanya, MPSJ percaya bahawa petugas yang terlibat boleh bersikap lebih berhemah dalam menangani situasi seperti itu.

“Pihak majlis akan mengambil langkah-langkah perlu untuk mempertingkatkan lagi sikap professional kakitangan MPSJ yang bertugas di lapangan.

“Lanjutan daripada insiden tersebut juga, petugas MPSJ membuat laporan polis terhadap kedua-dua individu tersebut kerana menghalang penjawat awam melaksanakan tugas,” katanya.

Azfarizal dalam pada itu meminta orang ramai supaya menggunakan saluran yang betul untuk mengemukakan sebarang aduan, pandangan dan bantahan dan dalam masa sama tidak menghalang sebarang tugasan dilaksanakan kakitangan MPSJ di tapak.

Terdahulu, satu rakaman video menunjukkan proses penangkapan anjing tular di media sosial.

Menerusi rakaman berdurasi 4 minit 13 saat itu, petugas MPSJ dilihat menangkap seekor anjing dan mereka cuba dihalang oleh beberapa individu

Kerajaan Selangor melalui Exconya, Ng Sze Han kemudian memohon maaf terhadap insiden penangkapan anjing yang tular itu.

Sze Han berkata, perlakuan kasar petugas MPSJ ketika menjalankan penangkapan anjing itu amat dikesali.

Menurutnya, beliau memahami situasi terpaksa dihadapi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan petugas terhadap aduan anjing dan kucing terbiar yang semakin meningkat.

ARTIKEL BERKAITAN Kerajaan Selangor mohon maaf insiden tangkap anjing


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus