Beritahu saya kalau tiada duit beli baju sekolah

Norhizam membantu Muhammad Firas Darwisy mencuba pakaian seragam baharu sekolah agama di sebuah pusat beli belah di Bukit Baru bersama bapa, Azrin Mohd dan ibunya, Nur Aminah Pariyatna, 27.
Norhizam membantu Muhammad Firas Darwisy mencuba pakaian seragam baharu sekolah agama di sebuah pusat beli belah di Bukit Baru bersama bapa, Azrin Mohd dan ibunya, Nur Aminah Pariyatna, 27.
A
A
A

MELAKA TENGAH - "Maklum saya sekiranya tiada duit untuk beli pakaian sekolah anak," kata Adun Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee kepada ibu bapa di kawasan itu.

Menurutnya, beliau tidak mahu ada antara anak yang tidak bersekolah hanya disebabkan ibu bapa tidak mampu sediakan segala keperluan asas persekolahan.

Katanya, setakat ini pihaknya telah menyalurkan bantuan hampir RM20,000 menerusi Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Pengkalan Batu membabitkan lebih 200 murid-murid sekolah rendah di kawasan berkenaan.

"Selain sumbangan bagi membeli pakaian persekolahan, Japerun Pengakalan Batu turut peka terhadap sumbangan yuran persekolahan bagi meringankan beban kalangan ibu bapa terutama yang mempunyai anak ramai.

"Justeru itu, kita mengharapkan sekiranya ada lagi yang benar-benar kesempitan dan memerlukan bantuan dalam kawasan Pengkalan Batu supaya memaklumkan kepada saya sendiri atau menerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing," katanya selepas memberikan sumbangan pakaian sekolah agama kepada Muhammad Firas Darwisy Azrin, 7, dari Kampung Bukit Piatu, di sini, semalam.

Sementara itu, bapanya, Azrin Mohd, 42, yang bekerja sebagai pemandu berkata, dia hanya mampu menyediakan pakaian sekolah pagi untuk anaknya.

Katanya, duitnya tidak cukup untuk membeli kelengkapan persekolahan petang kerana tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya bergantung kepada pekerjaan yang dilakukan.

"Saya menghidap penyakit kencing manis yang mengakibatkan salah satu daripada jari kaki kanan terpaksa di potong dua tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Sebahagian besar perbelanjaan keluarga terpaksa dibantu isteri yang bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai menjual aksesori telefon bimbit," katanya.

Jelasnya, dia telah memaklumkan masalah dihadapi kepada MPKK Bukit Piatu yang kemudiannya dibawa ke pengetahuan Norhizam.

"Saya bersyukur segala keperluan sekolah petang anak kini dipenuhi.

"Kalau tak saya tangguhkan dulu persekolahan anak," katanya.