Makmal uji kaji haiwan perlu ditutup

Rakaman penyeksaan haiwan yang tular di media sosial.
Rakaman penyeksaan haiwan yang tular di media sosial.
A
A
A

HAMBURG - Rakaman video penyeksaan haiwan yang tular di media sosial mendapat kecaman daripada netizen.

Video memaparkan beberapa spesies haiwan seperti monyet, kucing dan anjing dijadikan bahan eksperimen makmal tersebut.

Ekoran video itu, aktivis dan orang ramai melakukan protes di luar Makmal Pharmacology dan Toxicology (LPT) di Hamburg, Jerman dan mendesak ia ditutup pada Sabtu lalu.

Kemarahan masyarakat terhadap perkara itu tidak terhenti apabila netizen turut memainkan peranan dengan meletakkan ulasan negatif terhadap makmal tersebut di halaman Google.

Menteri Pertanian Jerman, Barbara Otte-Kinast turut mencadangkan agar fasiliti tersebut ditutup.

"Jika dakwaan ini dibuktikan betul, mereka patut dihukum dan kesannya akan dilaksanakan segera.

"Kemungkinan pembatalan lesen ujian haiwan sedang diperiksa oleh Pejabat Lower saxony untuk Perlindungan Pengguna dan Keselamatan Makanan," katanya memetik laporan Mirror.

Kes ini terbongkar selepas Organisasi Hak Asasi Haiwan Soko Tierschutz and Cruelty Free International (CFI) menyamar masuk ke dalam makmal tersebut.

Artikel Berkaitan:

Beberapa bahagian video menunjukkan sekumpulan monyet menjerit dan meronta-ronta apabila dipakaikan rantai besi pada leher dan diletakkan di dalam sangkar kecil.

Video lapan minit itu turut menunjukkan ujian toksikologi dijalankan ke atas haiwan terbabit membuatkan kesemuanya berada dalam keadaan tertekan.

Menurut CFI, ujian dilakukan di makmal itu melibatkan proses meracun haiwan untuk melihat bagaimana tindak balas kimia atau dadah yang membawa kepada kemudaratan serius bagi mengukur dos bersesuaian dan selamat untuk manusia.

Sementara itu, satu petisyen atas talian telah dilancarkan oleh aktivis Carolin Iding bagi mendesak LPT ditutup.