PBT disaran pantau premis jual vape

Dr Ismail (dua dari kiri) menziarahi pesakit strok, Wan Nordin (tengah) ketika turun padang memberi sumbangan di Taman Bersatu di sini petang semalam.
Dr Ismail (dua dari kiri) menziarahi pesakit strok, Wan Nordin (tengah) ketika turun padang memberi sumbangan di Taman Bersatu di sini petang semalam.
A
A
A

KUALA KEDAH - Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kedah disarankan melakukan pemantauan di premis jualan rokok elektronik atau vape demi memastikan ia tidak dijual sewenang-wenangnya khususnya kepada pelajar.

Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima aduan berhubung berkaitan perkara itu, bagaimanapun tetap mahukan kawalan dilaksanakan.

Menurutnya, PBT di negeri ini diharapkan dapat menyalurkan maklumat berhubung premis terbabit bagi memudahkan pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa memandangkan melihat ia satu yang membimbangkan kerana melibatkan pelajar.

"Kita melihat perkara ini sebagai sesuatu yang serius dan membimbangkan disebabkan ia boleh membawa kepada ketagihan, apatah lagi tanpa kawalan dan kini boleh didapatkan dengan harga lebih murah.

"Bila tidak ada kawalan anak anak kita rasa senang terbabit dan sebab itu kita akan melihat keseluruhan termasuklah meminta PBT memantau dan menyalurkan maklumat kepada kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika ditemui ketika menyampaikan bantuan kepada seorang pesakit strok, Wan Nordin Wan Husin, 53 di Taman Bersatu di sini, petang semalam.

Dr Ismail berkata, kerajaan negeri juga akan mempergiatkan lagi kempen kesedaran kepada orang ramai berkaitan bahaya vape kepada kesihatan pengguna, seperti mana rokok.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor berkata, kerajaan negeri juga akan senada dengan kerajaan Persekutuan dalam melihat ada keperluan untuk kuatkuasakan larangan sepenuhnya penggunaan vape.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan kerajaan telah mewujudkan satu jawatankuasa kerja pakar di bawah Kementerian Kesihatan bagi mengkaji kemungkinan larangan secara menyeluruh terhadap penggunaan rokok elektronik dan vape yang dipengerusikan Timbalannya, Dr Lee Boon Chye.